Jumaat, 28 Julai 2017

MAZMUR 150:1-6                   Haleluya
Haleluya! Pujilah Allah dalam tempat kudus-Nya! Pujilah Dia dalam cakrawala-Nya yang kuat!
Pujilah Dia karena segala keperkasaan-Nya, pujilah Dia sesuai dengan kebesaran-Nya yang hebat!
Pujilah Dia dengan tiupan sangkakala, pujilah Dia dengan gambus dan kecapi!
Pujilah Dia dengan rebana dan tari-tarian, pujilah Dia dengan permainan kecapi dan seruling!
Pujilah Dia dengan ceracap yang berdenting, pujilah Dia dengan ceracap yang berdentang!
Biarlah segala yang bernafas memuji TUHAN! Haleluya!


Selasa, 25 Julai 2017

KISAH SEORANG PAK CIK BERTEMU SEORANG PONTIANAK



Pada masa tahun 1960an seperti yang saya ceritakan pada blog-blog saya yang lalu.. keadaan  infrastruktur di kawasaan Keningau ini adalah masih dalam keadaan mundur.  Jalan raya memang sudah ada tetapi semuanya masih jalan tanah merah atau batu kerikil.  Demikian juga di antara kampung kami dengan Bingkor.  Walaupun jaraknya tidak berapa jauh tetapi jalan masih kurang baik.

Waktu itu ada seorang pak cik di kampung kami yang terkenal kerana kaki botol.  Beliau ini sebenarnya adalah seorang yang rajin bertani dan juga giat mencari tanah untuk di pohon kerana penduduk belum ramai di Keningau.  Di mana-mana saja ada kawasan yang kosong maka di sanalah dia pergi memohon tanah.  Sehinggalah pada masa ini hasil peninggalannya adalah beberapa bidang tanah yang telah diwarisi oleh anak-anaknya.

Apa yang saya mahu ceritakan ini adalah peristiwa seram yang di alami beliau sementara dia pergi ke Kawasan Bingkor kerana menghadiri keramaian minum tapai di rumah seorang kawannya.  Pada waktu itu dia di jemput oleh seorang kawan rapatnya dan diapun dengan senang hati untuk menghadirinya, kerana memangpun dia adalah seorang peminum tegar.  Waktu itu beliau masih agak muda mungkin dalam umur 30an dan badan masih kuat.

Dia pergi ke Bingkor pada waktu tengahari dan terus berseronok minum tapai bersama dengan rakan-rakannya sampailah ke malam.  Pak cik ini sudahpun sangat mabuk dan diapun meminta diri untuk pulang.  Rakan-rakanya menahannya untuk pulang kerana khuatir dengan keselamatannya.  Selepas di pujuk pak cik ini bersetuju untuk bermalam di rumah kawannya.  Tetapi menjelang jam 10.00 malam beliau bangun dari tidur dan merasa mabuknya sudah agak hilang. Maka diapun memutuskan untuk pulang ke rumahnya di Kg. Toboh Baru yang jaraknya lebih kurang 4 kilometer. 

Maka diapun jalan menyusuri jalan raya untuk pulang.  Kebetulan waktu itu malam bulan purnama jadi dia boleh melihat dengan jelas tempat dia berjalan.  Waktu itu kenderaan masih sangat kurang dan tiada satupun kenderaaan yang lalu di jalan raya tersebut.  Akhirnya dia sampai di satu tempat yang bernama Talapintas di mana di tepi jalan raya tersebut adalah kawasan yang berpaya dan ditumbuhi oleh pokok rumbia.

Tiba-tiba beliau ternampak satu lembaga manusia yang menyerupai seorang gadis cantik sedang berjalan tidak berapa jauh di depannya.
Seakan-akan dia mendengar suara  gadis ini  ketawa. Pak cik ini tidak pula berasa takut tetapi merasa berani kerana masih dalam keadaan separuh mabuk.  Dia terus berlari untuk memeluk gadis ini.  Dia berfikir inilah peluang keemasannya untuk memeluk seorang gadis di tempat yang sunyi.   Tetapi alangkah terkejutnya dia kerana gadis itu rupanya bukan manusia biasa tetapi seorang pontianak. Dengan gigi yang menyeringai dan kuku yang tajam ia menyerang pak cik ini sehingga beliau jatuh pengsan.

Nasib baiklah kawan-kawannya yang prihatin datang menyusulnya dengan cepat sehingga dia dapat di selamatkan. Kalau tidak pak cik ini mungkin sudah terkorban.  Apabila dia tersedar barulah dia menceritakan penglamannya.  Dan apabila dia balik ke rumah keesokan harinya dia menceritakan pengalaman pahitnya kepada keluarganya yang sudah risau kerana semalaman tidak balik ke rumah.  Mulai dari saat itu beliau tidak berani lagi berjalan di waktu malam keseorangan. Dan beliau menasihatkan kami agar tidak bersikap tidak senonoh kalau melihat sesuatu yang ganjil dan menghairankan di dalam perjalanan terutama di kawasaan terpencil seperti hutan belantara samaada siang ataupun malam.



Isnin, 17 Julai 2017

CERITA SERAM DARIPADA SEORANG KAWAN


Kali ini kisah yang saya akan ceritakan adalah bukan pengalaman saya sendiri tetapi daripada pengalaman seorang kawan.  Kawan saya ini merupakan bapa mertua kepada rakan sekerja saya di Jabatan Pembangunan Koperasi Keningau.  Dia bekerja di Jabatan Kesihatan Tenom waktu itu.

Kebetulan pula waktu itu kami akan outstation di Tenom kerana urusan kerja.  Rakan sekerja saya ini mengatakan”Bagus juga kita menginap di kuarters tempat tinggal mentua saya di Tenom kerana dia tiada kawan di sana, lagipun rumah itu besar.” Katanya.  Sayapun setuju kerana ini akan menjimatkan kos penginapan.

 Pada waktu pagi seperti biasa kami akan menjalankan tugas kami melawat koperasi-koperasi untuk penyeliaan dan pengauditan.  Pada waktu petang barulah kami pergi ke  tempat tinggal mentua kawan saya itu.  Di sana kami di sambut dengan gembira kerana maklumlah ada hubungan keluarga di antara anak mertua dan bapa mertua.

Tempat tinggal bapa mertua kawan saya itu terletak di sebelah atas Pekan Tenom, maksud saya di tempat yang tinggi sedikit kerana terletak di kaki bukit.  Dan sebelah atas lagi terletak Hotel Perkasa Tenom yang terkenal kerana kisah seramnya.  Di sekeliling kuarters tersebut di tumbuhi oleh pohon-pohon kayu hujan dan pohon lain yang di biarkan tumbuh sehingga kuarters tersebut terlindung sedikit daripada sinaran cahaya matahari.  Apabila tiba jam 5.00 petang tempat itu sudah dalam suasana gelap kerana cahaya matahari di lindungi oleh pohon-pohon dan bukit tinggi kerana kuarters itu terletak di kaki bukit.  Apa yang saya nampak juga adalah terdapat pokok-pokok bunga cempaka(kemboja) yang di tanam di sekeliling kuarters tersebut.

Selepas mandi kami pergi makan di kedai makan  yang tidak jauh di bawah. Selepas itu kami balik ke kuarters untuk tidur.  Kebetulan pula pada malam itu orang yang tinggal di sebelah kuarters itu ada menyediakan minuman tapai untuk meraikan kawan-kawannya.  Dan kami pun di jemput sama tetapi saya tidak minum kerana tidak biasa tapi kawan saya minum. 

Bapa mertua kawan saya itupun tidak minum juga, untuk menjaga kesihatan katanya. Tetapi sementara kami sedang bercerita-cerita dia sempat menceritakan cerita seram yang di alaminya beberapa bulan yang lalu.  Ceritanya timbul kerana saya ada bertanya, “Selama uncle tinggal di sini, adakah apa-apa pengalaman ganjil yang uncle alami?”

Dia menceritakan beberapa bulan yang lalu, waktu itu dia tinggal seorang diri di kuarters kerana pekerja-pekerja yang tinggal di situ semuanya balik kampung kerana cuti dan ada yang mempunyai urusan oeribadi masing-masing. 

Waktu itu jam menunjukkan 9.00 malam. Dia terhidu bau bunga cempaka yang mekar sungguh harum semerbak. Bau harum bunga cempaka itu seolah-olah membuatnya terkhayal sedikit.   Dia seorang diri mendengar radio di biliknya dan sudah bersedia untuk tidur. 
Selepas itu diapun mematikan radionya kerana matanya sudah mengantuk.

Tiba-tiba dia mendengar suara perempuan memanggil dari luar untuk minta masuk.  Semua jendela dalam rumah kediamannya sudah di tutup rapat dan pintu utamapun sudah di kunci dari dalam. Dia sudah merasa seram kerana dia tidak mengenali suara gadis tersebut.  Oleh yang demikian dia hanya berdiam diri di dalam biliknya yang sudah di kunci rapat.  Apa yang menghairankannya adalah tiba-tiba dia mendengar pintu utama rumah itu terbuka dengan sendiri dan kedengaran ada orang seperti sedang berjalan dan dengan suara yang mengilai, merayu-rayu dan sungguh menyeramkan mengetuk-ngetuk pintu biliknya untuk minta masuk.  Apa lagi bulu-bulu romanya pun berdiri menegak.  Tetapi dia terus berdoa bersungguh-sungguh dan memegang rosarynya meminta perlindungan Tuhan.  Gangguan itu terus berlanjutan sehingga jam 1.00 pagi barulah suara mengilai itu hilang. Selepas dia rasa selamat barulah dia keluar dari biliknya, mengunci kembali pintu utama dengan lebih kuat lagi dan dia memasang semua lampu di rumah itu.

Selepas kejadian itu ada lagi beberapa gangguan kepada penghuni-penghuni lain dan mereka juga berdoa barulah gangguan itu hilang.
Lama kelamaan bapa mertua kawan saya itu sudah terbiasa dengan perkara itu dan dia tidak merasa takut lagi.  Mungkin roh itupun sudah terbiasa dengan mereka jadi tidak lagi mengganggu mereka.
Waktu saya mendengar cerita tersebut sempat juga bulu roma saya menegak tetapi memandangkan ramai orang di rumah pada waktu itu perasan saya itu sebentar saja hilang.


 Inilah cerita seram di kuarters Jabatan Kesihatan Tenom.  Sama ada ianya masih berlaku sehingga hari ini sayapun tidak tahu kerana saya telah bersara beberapa tahun yang lalu.  Masa akan datang saya akan ceritakan lagi pengalaman seorang kawan yang menginap di Hotel Perkasa Tenom.

Khamis, 13 Julai 2017

PENGALAMAN SAYA DI RANCANGAN BELIA TIULON SOOK KENINGAU



Pada hujung tahun 1980 an, masa itu saya baru saja beberapa tahun bekerja di Jabatan Pembangunan Koperasi yang berpejabat di Keningau.  Waktu itu ada koperasi yang ditubuhkan khas untuk peneroka-peneroka tanah di Tiulon Sook yang jaraknya lebih kurang 40 kilometer daripada Bandar Keningau.

Sewaktu itu jalanraya sepanjang Keningau Sook belum di aspal lagi.  Namun jalannya agak baik juga kerana  jalanraya di tabur dengan batu kelikir.  Cuma berhabuk kalau di jalan raya terutama kalau musim kemarau.

Waktu itu kami ada outstation di Tiulon Sook kerana melawat koperasi.  Peqawai dan kawan lelaki saya yang seorang akan menyelia koperasi sementara saya akan menjalankan audit.
Apabila kami sampai di sana, kakitangan koperasi menunjukkan kepada kami sebuah rumah yang kelihatan masih sangat baik , cuma kosong kerana ada sudah beberapa kakitangan yang sudah dipindahkan ke tempat lain. Ada tiga buah bilik di rumah tersebut dan masing-masing ada tilam dan katil yang masih di katakan baru dan selesa.

Saya sengaja memilih bilik yang satu dan jauh sedikit daripada dua bilik yang lain kerana boss saya itu suka merokok dan saya tidak suka terhidu bau asap rokok.  Rumah penginapan itu cukup dengan kelengkapan tapi cuma kekurangan air.  Nasib baiklah tangki yang di sediakan untuk menampung air hujan itu masih penuh dengan air kerana baru saja hujan lebat turun.  Jadi senanglah kami mandi.   Kami makan di kantin yang masih ada waktu itu.
Selepas selesai kerja dan makan petang kamipun balik ke tempat penginapan. Selepas mandi dan menukar pakaian kami bercerita-cerita sampai lah kami mengantuk kerana tiada alat hiburan seperti radio dan tv d sana.  Lampu letrik pun sampai jam 10 malam  saja sudah diberhentikan kerana menjimatkan minyak untuk generator.

Selepas saja jam 10.00 malam keadaan adalah gelap-gulita dan kami ada juga memasang lampu lilin yang di letakkan di ruang utama. Tetapi oleh kerana sudah mengantuk maka kamipun pergi ke katil masing-masing untuk tidur. 
Sebaik saja saya membering diri di tilam maka sayapun tertidur dengan nyenyak. Entah berapa lama saya tertidur, tiba-tiba di dalam mimpi saya itu saya merasakan ada beberapa orang gadis cantik yang memakai pakaian berwarna-warni  menemani kami di dalam rumah itu.  Dalam mimpi saya itu, mula-mula saya merasakan macam biasa saja dan gembira pula kerana ada gadis-gadis cantik yang menemani kami.
Kemudian apabila saya masuk ke dalam bilik, ada seorang gadis yang sangat mesra dengan saya dan turut saya ke dalam bilik untuk tidur bersama-sama.  Mula-mula saya rasa suka tetapi bila gadis itu tidur di sebelah saya, tiba-tiba timbul rasa seram dan takut saya, walaupun dalam mimpi.  Gadis itu cuba memeluk saya tetapi saya mengelak dan berteriak lalu saya terbangun.

Apabila saya terbangun keadaan gelap gulita dan perasaan saya masih seram. Kemudian saya bangun dan mengambil lampu suluh lalu mencari sebatang lilin kemudian menyalakannya dekat dengan tempat tidur saya.  Sebelum saya tidur balik saya pun berdoa dahulu meminta perlindungan Tuhan daripada gangguan  segala roh-roh jahat.
Walaupun saya sudah berdoa, gadis itu masih cuba mengganggu saya dalam mimpi.  Sehinggalah saya bangun tiga kali dan tiga kali juga saya berdoa barulah tiada gangguan dan saya tertidur nyenyak sampai ke pagi.

Keesokan harinya kawan saya bertanya, ada apa-apakah yang ganjil, tetapi saya tidak memberitahu apa-apa.  Tetapi kawan saya memberitahu, “Entah apa boss semalam bangun dan dia menyuluh saya dengan lampu suluh” katanya.  Sayapun mengatakan ”Mungkin dia ada nampak sesuatu yang menyeramkan, itulah sebabnya dia bangun “
Sampai di pejabat barulah saya menceritakan pengalaman saya kepada kawan saya itu. 

Inilah pengalaman yang saya tidak lupakan di Tiulon Sook.



Ahad, 9 Julai 2017

PENGALAMAN DI SUNGAI RAYOH TENOM


Pada hujung Tahun 1994 adik lelaki saya yang menetap di Kampung Rayoh Tenom telah hilang sewaktu dia pergi memburu seorang diri  di hutan di  sekitar kampung tersebut.  Setelah dia hilang selama lebih kurang seminggu, isterinya telah datang ke ke tempat kami di Keningau untuk memberitahu perkara tersebut.
Kami anggota keluarganya yang prihatin terus saja pergi ke Sungai Rayoh Tenom untuk mencari adik kami yang hilang.  Yang saya masih ingat rombongan yang mencari dalam kumpulan saya itu adalah seramai lima orang lelaki. 

Saya sendiri, dua orang sepupu saya, seorang anak buah dan yang seorang lagi adalah di kira pangkat menantu kerana dia berkahwin dengan anak kakak perempuan saya.  Pada mula kami mencari itu kami telah menaiki sebuah land rover sampai ke puncak bukit yang ada jalan raya.  Sampai di atas bukit kami semua berhenti kerana kami sudah memasuki kawasan hutan yang tebal dan tiada lagi jalan raya.

Kawasan kami mencari itu adalah sebuah kawasan yang berbukit bukau dan curam.  Ada kawasan yang mempunyai tebing yang curam dan berbatu-batu, kalau terjatuh ke bawah akan mengakibatkan kecederaan parah bahkan kematian.
Mula-mula kami turun ke bahagian bawah bukit di mana terdapat sebuah pondok yang terletak di tepi Sungai Rayoh tempat di mana kami akan bermalam. Pondok itu adalah tempat tinggal adik saya dan beberapa orang lain yang bekerja dengan syarikat pembalakan di kawasaan itu.  Di sana kami meletakkan barang keperluan kami iaitu bag yang mengandungi pakaian dan barang keperluan makanan seperti beras, periuk nasi, garam, ajinomoto, pisau, parang dan juga jala.

Selepas itu kami naik semula ke atas bukit dan kami berpecah untuk memulakan pencarian.  Walaupun kami berpecah, tetapi kami pastikan jarak kami di antara satu sama lain tidak terlalu jauh agar tidak tersesat.  Lagipun agak sukar juga untuk sesat kerana kawasan rendah semuanya mengarah ke satu arah iaitu Sungai Rayoh.
Kawasan kami mencari itu adalah berbatu-batu dan hutan tebal tetapi kayu yang besar sudah tiada kerana sudah di tebang untuk tujuan pembalakan.  Setelah beberapa jam kami mencari kami tidak menjumpai apa-apa petunjuk maka kamipun semua balik ke pondok tempat kami menyimpan peralatan tersebut. 

Sesampai di pondok ada yang memasak nasi sementara kami yang ada jala pergi menjala ikan di sungai tersebut.  Sungai Rayoh ini adalah kecil saja tapi agak besar waktu itu kerana musim hujan.  Tetapi sungai itu cukup jernih dan bersih kerana ulunya masih tidak tercemar dan kawasan hutan belantara.
Apa yang sangat mengujakan saya waktu itu adalah tangkapan kami yang sangat banyak kerana sungai itu terdapat sangat banyak ikan walaupun kecil-kecil saja.  Yang saya masih ingat ikan yang dapat kami tangkap pada masa itu iaitu dalam bahasa Dusun adalah palian, barob, sarawi, lumpis, turongou, rokot, bingkarou, borot dan banyak lagi yang lain.
Kebetulan hari hampir senja sudah kamipun memasak ikan tersebut. Dan selepas itu kami makan nasi berlaukkan ikan tersebut dan dengan ulam pakis yang banyak terdapat di situ.  Kami semua makan dengan puas kerana dapat makan ikan yang segar dan berada pula di tengah-tenga hutan yang sunyi-sepi.  Kami tidak sempat membawa lampu kecuali lampu picit jadi bila kami tidur, kami tidur dalam kegelapan.  Kami hanya memasang unggun api di tempat yang berdekatan.  Oleh kerana kami terlalu letih masa siang tadi, lebih kurang jam 9.00 malam kami sudah tidur di pondok tersebut yang hanya beralaskan papan dan baju kami dan tiada dinding.

Tidak lama kemudian ada sudah di antara kami yang sudah berdengkur, tetapi saya belum lagi.  Tiba-tiba kami terkejut kerana seperti ada ranting kayu yang  di lontarkan ke atap zing pondok kami tidur itu.  Saya berfikir ..ah.. itu mungkin ranting kayu yang jatuh dari atas.  Tetapi perkara itu berulang beberapa kali, namun kami semua diam saja.  Saya sendiri tidak merasa takut kerana kami ramai.  Tetapi kemudian saya ketahui anak buah saya itu memegang erat rosarynya semasa ranting itu jatuh agar roh-roh jahat lari.

Keesokan harinya kami bangun dan memeriksa atap zing tetapi tiada pula ranting yang besar hanya yang kecil saja. Yang kalau jatuhpun tidaklah kuat kesan bunyinya.
Pada keesokan harinya, kami kembali lagi mencari tetapi kami tidak menjumpai apa-apa.  Memandangkan sepupu saya akan pergi bertugas termasuklah saya sendiri maka kami memutuskan untuk pulang kerana keretapi akan sampai di perhentian Rayoh lebih kurang jam 12.30 tengahari. 

Jarak di antara tempat kami mencari itu dari rumah adik saya di Kampung Rayoh adalah lebih kurang tiga batu.  Dan kami semua berjalan menyusuri sungai Rayoh untuk sampai ke rumah tersebut.    Tulang rusuk saya hampir patah kerana jatuh tergelincir akibat jalan yang licin dan berlumpur.

Hanya beberapa hari saja kami pulang ke Keningau kami telah mendapat berita tentang penemuan mayat adik saya di Hutan Rayoh, hanya beberapa rantai sahaja dari tempat kami mencari iaitu di sebelah ulu sungai.  Kalaulah kami berjalan lebih jauh lagi rombongan kamilah yang menjumpainya.

Inilah pengalaman yang sukar saya lupakan sampai bila-bila.



Jumaat, 7 Julai 2017

DENGAN MENGEMBALIKAN PERSEPULUHAN ALLAH AKAN KEMBALIKAN KEPADA KITA BERKAT-BERKAT YANG BERLIMPAH-LIMPAH


Segala-gala apa yang di dalam dunia ini termasuklah wang, emas, perak, mutiara, ternakan, hutan, minyak, besi, tembaga dan sebagainya adalah
kepunyaan Allah sendiri.

 ”Tuhanlah yang empunya bumi serta segala isinya, dan dunia serta yang diam di dalamnya. “ Mazmur 24:1

“Sebab punya-Kulah segala binatang hutan, dan beribu-ribu hewan di gunung”
Mazmur 50:10

“Kepunyaan-Kulah perak dan kepunyaan-Kulah emas, demikianlah firman TUHAN semesta alam.” Hagai 2:9

“Tetapi haruslah engkau ingat kepada TUHAN, Allahmu, sebab Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan, dengan maksud meneguhkan perjanjian yang diikrarkan-Nya dengan sumpah kepada nenek moyangmu, seperti sekarang ini.”
Ulangan 8:18

“Bolehkah manusia menipu Allah? Namun kamu menipu Aku. Tetapi kamu berkata: "Dengan cara bagaimanakah kami menipu Engkau?" Mengenai persembahan persepuluhan dan persembahan khusus! Kamu telah kena kutuk, tetapi kamu masih menipu Aku, ya kamu seluruh bangsa! Bawalah seluruh persembahan persepuluhan itu ke dalam rumah perbendaharaan, supaya ada persediaan makanan di rumah-Ku dan ujilah Aku, firman TUHAN semesta alam, apakah Aku tidak membukakan bagimu tingkap-tingkap langit dan mencurahkan berkat kepadamu sampai berkelimpahan.  Aku akan menghardik bagimu belalang pelahap, supaya jangan dihabisinya hasil tanahmu dan supaya jangan pohon anggur di padang tidak berbuah bagimu, firman TUHAN semesta alam.”
Maleakhi 3:8-11


Persoalannya adakah kita sudah mengembalikan persepuluhan
dengan setia?

Bagaimanakah kita menentukan perspuluhan?

 Persepuluhan adalah 10 peratus daripada pendapatan kita iaitu kasar.
Katakan gaji kita adalah RM10,000.00 jadi persepuluhan
kita adalah RM1,000.00.  Jadi wang baki RM9,000.00 itulah
yang kita gunakan untuk segala keperluan hidup kita.
Mungkin ada yang mengatakan RM1,000 itu jumlah besar
tapi jangan kita lupa sama ada sedikit atau banyak itu adalah
kepunyaan TUHAN dan bukan kepunyaan kita.

Dan bagaimana pula kalau kita tidak mengembalikan persepuluhan?
Itu bererti kita menipu Allah kerana persepuluhan itu adalah
hakNya. Cuba kita lihat dalam Maleakhi 3:8,9

Bolehkah manusia menipu Allah? Namun kamu menipu Aku. Tetapi kamu berkata: "Dengan cara bagaimanakah kami menipu Engkau?" Mengenai persembahan persepuluhan dan persembahan khusus!”

Pengalaman Sendiri:

Pada tahun lalu di Kg. Toboh Baru ini musim menanam padi telah diawalkan seperti di Tambunan.  Tetapi memandangkan tidak sama mannyemai  maka banyak lah padi yang cepat berbuah. Jadi apa lagi burung pipit pun menyerang padi yang baru berbuah.  Kamipun terpaksalah menjaga padi dari di makan oleh pipit pagi dan petang.  Kami suami isteri bergilir-gilir.

Pada petang Jumaat jam 5.30 petang  kamipun pulang ke rumah untuk persediaan Hari Sabat.  Tetapi sebelum pulang saya akan berdoa  ” Tuhan, sekarang kami akan pulang ke rumah untuk persediaan SabatMu yang suci. Biarlah Engkau menjaga padi ini pada esok hari supaya burung-burung
tidak akan memakannya.  Saya berjanji juga untuk mengembalikan persepuluhan untuk padi ini”

Pada sepanjang hari Sabat kami tidak akan pergi ke sawah  padi kerana menyucikannya dan pergi berbakti di gereja.Tetapi pada hari Ahad kami pergi ke sawah padi dan padi-padi Itu tidak juga di makan oleh burung pipit.   Ada orang di sebelah kami yang mengatakan, ”Hairan betul kelmarin kamu tiada di sini tetapi bila pipit-pipit itu terbang mereka melintasi saja padi kamu dan pergi ke tempat lain.  Mungkin  ada jimat barangkali yang kamu pakai sehingga pipit-pipt itu tidak makan padi kamu.”   Saya hanya tersenyum saja, tetapi di dalam
hati saya bersyukur dan katakan TUHAN yang jaga padi kami. Dan apabila kami menuai padi  hasilnya tidak juga jauh beza dengan tahun sebelumnya. Dan saya tunaikan janji saya dan kembalikan persepuluhan padi itu.


KESIMPULANNYA:

Oleh yang demikian cubalah lakukan perkara ini  dalam kehidupan kita  niscaya kita akan mendapat kebahagiaan dan damai sejahtera yang sejati dalam kehidupan kita.

Marilah kita sucikan hari Sabat seperti mana yang terdapat dalam
Hukum keempat dalam sepuluh hukum.

Cubalah selepas kita gaji pada  hujung bulan ini kita asingkan 10 % untuk TUHAN dan 90% untuk kita.   Memanglah kalau kita kembalikan persepuluhan wang kita habis juga tetapi kita akan di berkati dengan  berkat berlimpah-limpah.  Tetapi kalau kita tidak kembalikan persepuluhan, seberapa banyakpun
wang kita ia akan habis juga.  Dan yang tidak baik kita tidak akan mendapat sebarang berkat kerana kita menipu Allah dan masalah kita akan bertimbun-timbun.

Yesus mengatakan di dalam Matius 6:33 “Carilah dulu Kerajaan Allah dan kebenarannya maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu”

“Berbahagialah yang murah hatinya karena  mereka akan beroleh kemurahan” Matius 5:7

“Muliakanlah TUHAN dengan hartamu dan dengan hasil pertama dari segala penghasilanmu, maka lumbung-lumbungmu akan diisi penuh sampai melimpah-limpah, dan bejana pemerahanmu akan meluap dengan air buah anggurnya.”
Amsal 3:9-10


Rabu, 5 Julai 2017

PENGALAMAN DI REST HOUSE TAMBUNAN YANG MENYERAMKAN



Sewaktu saya masih bertugas sebagai Juruaudit di Jabatan
Pembangunan Koperasi pada tahun 1990an, kebetulan pada waktu itu kami ketiadaan pemandu kenderaan jabatan kerana pemandunya cedera parah kerana kemalangan..

Boss saya pada waktu itu adalah En. Patrick. Walaupun dia ini kadangkala bersikap panas baran tetapi kalau kita pandai mengambil hatinya, dia akan bersikap prihatin terhadap kakitangannya.

Pada masa itu saya ada tugasan di Tambunan untuk mengaudit koperasi-koperasi di sana.  Memandangkan tiada pemandu waktu itu maka dia pun membenarkan saya menggunakan kenderaan jabatan.  “Yang penting kau berhati-hati dan jaga keselamatan.  Kalau ada apa-apa berlaku itu tanggung-jawab kau sendiri” katanya mengingatkan saya.

Saya berencana untuk bermalam satu malam di Rest House Tambunan kerana ada beberapa buah koperasi yang saya akan audit.  Sesampai saja saya di Pekan Tambunan maka sayapun terus pergi booking untuk bermalam satu malam di Rest House.  Kakitangan di sana sudah begitu kenal dengan saya dan senanglah saya berurusan dengan mereka.
Selepas meletakkan beg pakaian saya dan peralatan lain di dalam bilik rest house sayapun pergi mengaudit koperasi-koperasi yang telah di temu janji.  Saya makan tengahari di kedai Pekan Tambunan dan kembali lagi pergi mengaudit koperasi sampailah selesai.  Kira=kira jam 4.00 petang barulah saya balik ke Rest House. 

Selepas berbaring-baring di katil lebih kurang 40 minit, sayapun berjalan-jalan diperkarangan rest house yang mempunyai beberapa pondok dan bangku yang telah tersedia untuk pelawat. Lebih kurang jam 6.00 petang barulah saya masuk ke bilik untuk mandi.  Selepas saya mandi saya terus ke lobi rest house untuk makan.  Selepas berbual-bual dengan beberapa kakitangan saya kembali ke bilik rest house untuk meneruskan kerja-kerja audit saya.   Kira-kira jam 10.00 malam saya rasa mengantuk dan terus berbaring di katil dan terus tertidur. 

Saya biasanya kalau tidur akan mematikan semua lampu kerana tidak dapat tidur kalau ada lampu yang terpasang. Lebih kurang setengah jam saya tertidur sayapun terbangun kerana saya merasakan ada satu lembaga hitam yang masuk ke dalam bilik saya menerusi jendela kaca yang tetutup rapat. Kemudian lembaga tersebut datang menghampiri saya dan terus mencekek saya. Saya cuba berteriak tetapi tidak dapat. Saya meronta-ronta melepaskan diri dan akhirnya saya terbangun. Saya terus pergi mamasang lampu, dan saya masih sempat melihat lembaga hitam tersebut keluar menembusi jendela kaca tersebut.

Dengan perasaan seram dan gementar saya terus berdoa untuk meminta perlindungan Tuhan.  Dan sayapun kembali tertidur dalam keadaan lampu terpasang. Tetapi perkara tersebut berulang kembali sebanyak 3 kali.  Dan setiap kali itu berlaku saya akan berdoa,  Selepas 3 kali barulah lembaga itu tidak datang lagi.

Yang menghairankan setiap kali lembaga itu datang, ia akan masuk menembusi jendela kaca dalam keadaan lampu terang benderang.  Dan saya dapat jelas melihatnya, tidak tahulah saya pada masa itu dalam keadaan sedar ataupun dalam keadaan tidur.

Selepas menceritakan kejadian tersebut kepada beberapa orang kawan.. rupa-rupanya bilik itu ramai yang tidak mahu menginap kerana terkenal dengan kerasnya.  Ada satu peristiwa di mana seorang yang menginap di bilik itu keluar pada waktu tengah malam dan berpindah bilik kerana dia melihat sesuatu yang menyerupai gadis cantik dalam bilik itu.


inilah pengalaman yang menyeramkan saya di Rest House Tambunan.

BOLA-BOLA DAN PERCIKAN API DI SAWAH PADI DI KG.TOBOH BARU KENINGAU.



Pada hujung tahun 1960an dan awal tahun 1970 an keadaan di kampung-kampung  di Keningau bahkan di seluruh Sabah pun masih dalam keadaan daif dan sangat kurang sekali pembangunan mahupun kemudahan asas.

Kampung kami yang terletak hanya lima kilometer daripada Bandar Keningau pun segala-galanya tiada kemudahan.  Bekalan elektrik dan air paip tiada. Tv tiada telefonpun tiada. Perhubungan utama  penduduk  kampung ke Bandar Keningau adalah dengan menaiki basikal kerana kenderaanpun masih kurang. Bahkan jalan-raya pun masih belum di aspal.  Sumber utama kami mendengar berita adalah kebanyakannya melalui radio.

Saya masih ingat waktu itu tahun 1970 ketika saya berumur sepuluh tahun.  Seperti kebiasaan bagi kanak-kanak dalam umur begitu, selepas habis sekolah kami selalu merayau-rayau di sekitar kampung sambil bermain-main.  Dan permainan utama kami adalah seperti main gelang getah, guli, gasing, main gala, roundup dan banyak lagi yang lain.  Kadang-kadang kami main sembunyi-sembunyi kerana kampung kami masih banyak semak belukar. Rumah-rumah pun masih kurang dan penduduk masih sedikit.

Apabila menjelang malam kami akan memasang unggun api di kawasan lapang dan di situlah kami berkumpul berkeliling sambil bermain-main dan bernyanyi. Apabila sudah lebih kurang jam sembilan malam barulah kami pulang ke rumah.

Tetapi apa yang paling menakjubkan kami pada waktu itu adalah pertunjukan bola-bola api dan percikannya di kawasan sawah di sebelah bawah kampung kami.  Kebetulan kampung kami terletak di atas dataran yang tinggi sedikit daripada kawasan sawah yang luas di sebelah bawahnya.

Pada waktu malam menjelang jam 10.00 malam bermulalah pertunjukan bola-bola api dan percikannya di sepanjang tali air sawah itu yang jauhnya dari kampung kami adalah lebih kurang satu kilometer sahaja.  Belum ada rumah lagi yang di bina di kawasan sawah tersebut kecuali pondok sawah padi.

Mula-mula ada satu barisan yang memegang obor api berjalan ke hulu dan ke hilir tali air tersebut.  Kemudian barisan itu berhenti di pertengahan dan menjadi  beberapa bola api yang besar.  Kemudian bola itu akan melambung ke atas dan berpecah kembali sama seperti letupan bunga api. Kemudian proses itu berulang sehingga menjelang subuh.

Kami yang masih kanak-kanak bahkan yang sudah dewasapun tidak berani untuk mendekati kawasan tersebut kerana takut apa-apa yang buruk akan berlaku. Pernah ada seorang lelaki di kampung kami yang pulang ke rumahnya yang terletak di penghujung tali air di sebelah bawah(hlir).  Waktu itu dia dalam berkeadaan mabuk, berjalan menyusuri tali air tersebut. 

Pada malam itu dia terserampak dengan barisan yang memegang obor api tersebut.  Diapun berteriak dan mengejar barisan obor tersebut tetapi barisan itu menghilang.  Apa yang lelaki tersebut nampak adalah arang yang sudah tiada bara api.

Apabila dia balik ke rumahnya, dia menceritakan kejadian itu kepada isterinya. Selepas itu dia demam panas selama tiga hari, nasib baiklah dia dapat sembuh balik.  Selepas kejadian itu lelaki tersebut tidak lagi berani mengganggu barisan api itu kalau dia terserampak.  Dia hanya mengatakan, “ Minta maaf saudara-saudara, saya tumpang lalu dulu”.   Dan tiada apa-apa berlaku kepada dia.

Itulah kenang-kenangan saya pada tahun 1960 an dan 1970an tetapi selepas itu saya tidak lagi ada masa untuk bersama dengan rakan-rakan kerana saya telah melanjutkan pelajaran ke Semenanjung Malaysia dan selepas itu bekerja dan berumah tangga.

Saya difahamkan kejadian seumpama itu tiada sudah kerana saya rasa beberapa faktor.  Selepas ada bekalan letrik dan  ada jalan raya di tali air tersebut mungkin mereka merasa terganggu dan berpindah ke tempat lain yang lebih aman dan tiada gangguan. Walau bagai manapun peristiwa itu tetap segar dalam ingatan saya sampai bila-bila bahkan sampailah ke akhir hayat saya.

Ini adalah satu kesah yang benar.



Ahad, 2 Julai 2017

SUATU MIMPI YANG ROMANTIK DAN MENGASYIKKAN



Pada hujung tahun 2010, sebaik saja saya  bersara awal daripada pekerjaan saya, saya pun memutuskan untuk pergi bersiar-siar ke Ranau tempat anak lelaki sulung saya bertugas.

Dia bertugas sebagai seorang pendeta yang melayani daerah Ranau pada masa itu.  Waktu itu anak saya itu belum lagi berkahwin.  Saya bertolak dari Keningau pada waktu pagi dan sampai di Ranau pada waktu tengahari.  Turut bersama saya  adalah isteri saya dan anak bongsu perempuan saya. 

Selepas makan dan berehat kira-kira sejam anak lelaki saya membawa kami ke Kundasang untuk melawat tugu peringatan perang dunia kedua dan juga hotel di kundasang yang terletak di puncak bukit.  Dari sana kami boleh melihat keindahan Gunun g Kinabalu dan juga suasana Pekan Kundasang yang walaupun kecil tetapi indah dan cuaca yang sejuk dan segar. Di tambah pula dengan hasil tanaman seperti sayur-sayuran dan bunga.

Selepas itu kami pun balik ke rumah penginapan anak saya iaitu lebih kurang sebatu setengah dari Pekan Ranau.  Tempat yang kami tinggal itu adalah dua buah bilik di belakang gereja.  Tempat itu terletak di tepi jalanraya yang menuju ke Sandakan, di mana tempat kami menginap itu di sebelah bawah jalan raya.   Dan di sebelah atas pula terletak tanah perkuburan yang lama dan baru. 

Saya juga memerhatikan bahawa gereja itu di bina diatas kawasan mata air tetapi sudah di timbun dengan tanah.  Sebelum ini saya sudahpun  mendengar tentang kisah-kisah seram yang di alami oleh orang-orang yang pernah  tinggal di tempat itu sebelum ini.

Selepas mandi dan makan malam kami pun bercerita-cerita dan anak lelaki saya pun terus tidur kerana penat memandu kereta seharian.  Kami ia itu saya isteri dan anak perempuan saya tidur di bilik yang satu lagi. Cuaca pada hari itu sangat baik tiada hujan dan malam bulan purnama.

Sayapun keluar dari bilik dan terus berjalan-jalan keluar di halaman gereja yang agak luas.  Suasana di luar adalah terang-benderang kerana cahaya bulan dan di tambah lagi dengan angin sepui-sepui bahasa. Udara agak dingin tapi segar.  Ada satu pohon bunga cempaka yang tumbuh dan bunganya harum terhidu.  Tetapi apa yang agak menyeramkan adalah terdapat rumpun-rumpun  bambu yang lebat di belakang gereja tersebut.
Setelah puas berjalan-jalan sayapun masuk kembali ke bilik dan tidur di sebuah katil yang terletak berhampiran dengan jendela yang tidak ada tirai yang menutupinya. 

Sedangkan isteri dan anak perempuan saya tidur di lantai kerana hanya ada satu katil kecil saja di bilik tersebut.

Sebaik saja saya membaringkan diri di katil saya terus tertidur dengan nyenyaknya.  Di dalam mimpi, saya seakan-akan saya berada di satu tempat yang indah dan menarik.    Dan terdapat juga beberapa gadis yang tidak saya kenali tetapi bersikap mesra terhadap saya. Saya selamba saja dan tidak menghiraukan mereka. Dan sayapun balik ke rumah.  Sesampai di rumah sayapun baring di katil.  Dan tiba-tiba ada seorang perempuan yang datang dan berbaring di sebelah saya.  Dalam hati saya, saya rasa perempuan ini adalah  isteri saya.  Dan sayapun terus tertidur sampai ke pagi hari.  Sebaik saja saya bangun saya bertanya kepada isteri saya samaada dia tidur dekat saya semalam. Tetapi isteri saya tersenyum saja dan mengatakan itu mimpi saja. “Bagaimana saya boleh tidur di katil yang sempit itu” katanya.
Inilah mimpi yang romantik dan tidak pula saya rasa seram.