Ahad, 9 Julai 2017

PENGALAMAN DI SUNGAI RAYOH TENOM


Pada hujung Tahun 1994 adik lelaki saya yang menetap di Kampung Rayoh Tenom telah hilang sewaktu dia pergi memburu seorang diri  di hutan di  sekitar kampung tersebut.  Setelah dia hilang selama lebih kurang seminggu, isterinya telah datang ke ke tempat kami di Keningau untuk memberitahu perkara tersebut.
Kami anggota keluarganya yang prihatin terus saja pergi ke Sungai Rayoh Tenom untuk mencari adik kami yang hilang.  Yang saya masih ingat rombongan yang mencari dalam kumpulan saya itu adalah seramai lima orang lelaki. 

Saya sendiri, dua orang sepupu saya, seorang anak buah dan yang seorang lagi adalah di kira pangkat menantu kerana dia berkahwin dengan anak kakak perempuan saya.  Pada mula kami mencari itu kami telah menaiki sebuah land rover sampai ke puncak bukit yang ada jalan raya.  Sampai di atas bukit kami semua berhenti kerana kami sudah memasuki kawasan hutan yang tebal dan tiada lagi jalan raya.

Kawasan kami mencari itu adalah sebuah kawasan yang berbukit bukau dan curam.  Ada kawasan yang mempunyai tebing yang curam dan berbatu-batu, kalau terjatuh ke bawah akan mengakibatkan kecederaan parah bahkan kematian.
Mula-mula kami turun ke bahagian bawah bukit di mana terdapat sebuah pondok yang terletak di tepi Sungai Rayoh tempat di mana kami akan bermalam. Pondok itu adalah tempat tinggal adik saya dan beberapa orang lain yang bekerja dengan syarikat pembalakan di kawasaan itu.  Di sana kami meletakkan barang keperluan kami iaitu bag yang mengandungi pakaian dan barang keperluan makanan seperti beras, periuk nasi, garam, ajinomoto, pisau, parang dan juga jala.

Selepas itu kami naik semula ke atas bukit dan kami berpecah untuk memulakan pencarian.  Walaupun kami berpecah, tetapi kami pastikan jarak kami di antara satu sama lain tidak terlalu jauh agar tidak tersesat.  Lagipun agak sukar juga untuk sesat kerana kawasan rendah semuanya mengarah ke satu arah iaitu Sungai Rayoh.
Kawasan kami mencari itu adalah berbatu-batu dan hutan tebal tetapi kayu yang besar sudah tiada kerana sudah di tebang untuk tujuan pembalakan.  Setelah beberapa jam kami mencari kami tidak menjumpai apa-apa petunjuk maka kamipun semua balik ke pondok tempat kami menyimpan peralatan tersebut. 

Sesampai di pondok ada yang memasak nasi sementara kami yang ada jala pergi menjala ikan di sungai tersebut.  Sungai Rayoh ini adalah kecil saja tapi agak besar waktu itu kerana musim hujan.  Tetapi sungai itu cukup jernih dan bersih kerana ulunya masih tidak tercemar dan kawasan hutan belantara.
Apa yang sangat mengujakan saya waktu itu adalah tangkapan kami yang sangat banyak kerana sungai itu terdapat sangat banyak ikan walaupun kecil-kecil saja.  Yang saya masih ingat ikan yang dapat kami tangkap pada masa itu iaitu dalam bahasa Dusun adalah palian, barob, sarawi, lumpis, turongou, rokot, bingkarou, borot dan banyak lagi yang lain.
Kebetulan hari hampir senja sudah kamipun memasak ikan tersebut. Dan selepas itu kami makan nasi berlaukkan ikan tersebut dan dengan ulam pakis yang banyak terdapat di situ.  Kami semua makan dengan puas kerana dapat makan ikan yang segar dan berada pula di tengah-tenga hutan yang sunyi-sepi.  Kami tidak sempat membawa lampu kecuali lampu picit jadi bila kami tidur, kami tidur dalam kegelapan.  Kami hanya memasang unggun api di tempat yang berdekatan.  Oleh kerana kami terlalu letih masa siang tadi, lebih kurang jam 9.00 malam kami sudah tidur di pondok tersebut yang hanya beralaskan papan dan baju kami dan tiada dinding.

Tidak lama kemudian ada sudah di antara kami yang sudah berdengkur, tetapi saya belum lagi.  Tiba-tiba kami terkejut kerana seperti ada ranting kayu yang  di lontarkan ke atap zing pondok kami tidur itu.  Saya berfikir ..ah.. itu mungkin ranting kayu yang jatuh dari atas.  Tetapi perkara itu berulang beberapa kali, namun kami semua diam saja.  Saya sendiri tidak merasa takut kerana kami ramai.  Tetapi kemudian saya ketahui anak buah saya itu memegang erat rosarynya semasa ranting itu jatuh agar roh-roh jahat lari.

Keesokan harinya kami bangun dan memeriksa atap zing tetapi tiada pula ranting yang besar hanya yang kecil saja. Yang kalau jatuhpun tidaklah kuat kesan bunyinya.
Pada keesokan harinya, kami kembali lagi mencari tetapi kami tidak menjumpai apa-apa.  Memandangkan sepupu saya akan pergi bertugas termasuklah saya sendiri maka kami memutuskan untuk pulang kerana keretapi akan sampai di perhentian Rayoh lebih kurang jam 12.30 tengahari. 

Jarak di antara tempat kami mencari itu dari rumah adik saya di Kampung Rayoh adalah lebih kurang tiga batu.  Dan kami semua berjalan menyusuri sungai Rayoh untuk sampai ke rumah tersebut.    Tulang rusuk saya hampir patah kerana jatuh tergelincir akibat jalan yang licin dan berlumpur.

Hanya beberapa hari saja kami pulang ke Keningau kami telah mendapat berita tentang penemuan mayat adik saya di Hutan Rayoh, hanya beberapa rantai sahaja dari tempat kami mencari iaitu di sebelah ulu sungai.  Kalaulah kami berjalan lebih jauh lagi rombongan kamilah yang menjumpainya.

Inilah pengalaman yang sukar saya lupakan sampai bila-bila.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan