Isnin, 16 Oktober 2017

LAGENDA KAMPUNG NYAMUK KENINGAU


Pada  pertengahan tahun 1960an,  ketika saya baru berunur dalam lingkungan enam atau tujuh tahun, ada satu pesta yang di namakan Ginawari yang  akan di langsungkan pada setiap bulan Januari.  Dalam pesta tersebut ada bermacam-macam acara di jalankan seperti pertunjukan silap mata, menjual berbagai jenis barangan, makanan, minuman, pakaian dan juga permainan.  Ada juga permainan berbentuk judi seperti Wah Woi.

Tempat yang selalu di jalankan Ginawari itu adalah di perkarangan Hospital Keningau yang waktu itu belum di pagar.  Saya masih ingat kawasan pesta itu terdapat pokok-pokok kelapa yang sudah tinggi.  Itu menunjukkan kelapa itu sudah di tanam berpuluh-puluh tahun sebelum itu.

Mengikut cerita orang, tapak tempat mengadakan Ginawari tersebut merupakan kawasan asal perkampungan Kampung Nyamuk yang sudah di tinggalkan.  Itulah sebabnya kalau anda pergi ke bandar Keningau melalui jalan Tambunan/Apin-Apin Keningau, apabila anda sampai di round about dekat Hotel Perkasa, di simpang sebelah kanan anda akan melihat penunjuk arah Jalan Kampung Nyamuk menuju ke arah Hospital Lama Keningau.

Mengikut cerita, sebelum pihak British datang ke Keningau, seluruh kawasan Hospital Lama Keningau termasuklah Quarters pekerjanya sekali merupakan kawasan perkampungan Kampung Nyamuk.  Tetapi kenapakan perkampungan itu di tinggalkan begitu saja oleh penduduk-penduduknya?

Mengikut cerita pada satu masa ada beberapa orang ternampak seekor ular yang sederhana besar sedang merayap di sekitar kampung mereka.  Orang-orang ini memang nakal dan tidak menghormati adat-resam dan pantang-larang ketika itu.  Merekapun mengambil kayu lalu memukul ular ini sampai cedera parah dan meninggalkannya.  Tapi sebelum beredar, mereka berkata kepada ular tersebut,”Panggil lagi kawan-kawan kamu dan kami akan pukul sampai mati”

Orang-orang ini pulang ke rumah tanpa memikirkan akibat buruk yang akan menimpa mereka kerana perbuatan mereka tadi.  Keesokan harinya penduduk kampung itu gempar kerana ada berpuluh-puluh ekor ular telah datang menyerang mereka.  Ramai di antara mereka telah mati kerana di patuk oleh ular yang berbisa.  Penduduk-penduduk yang terselamat pula telah berpindah ke tempat yang selamat seperti di Kampung Dangulad, Tuarid Taud, Liawan dan Kampung Keningau.

Mulai dari saat itu penduduk-penduduk kampung tidak lagi berani mengusik ular yang mereka nampak. Kalau ternampak pun  mereka biarkan berlalu dari situ.  Peristiwa ini berlaku lama sebelum British bertapak di Keningau, namun bekas peninggalan Kampung Nyamuk masih lagi kita nampak sampai sekarang iaitu pokok kelapa yang sudah sangat tua dan tinggi dan pokok mangga tua di belakang Hospital Lama Keningau. 


Begitulah lagenda di sebalik Kampung Nyamuk Keningau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan