Kali ini kisah yang saya akan
ceritakan adalah bukan pengalaman saya sendiri tetapi daripada pengalaman seorang
kawan. Kawan saya ini merupakan bapa
mertua kepada rakan sekerja saya di Jabatan Pembangunan Koperasi Keningau. Dia bekerja di Jabatan Kesihatan Tenom waktu
itu.
Kebetulan pula waktu itu kami akan
outstation di Tenom kerana urusan kerja.
Rakan sekerja saya ini mengatakan”Bagus juga kita menginap di kuarters
tempat tinggal mentua saya di Tenom kerana dia tiada kawan di sana, lagipun
rumah itu besar.” Katanya. Sayapun
setuju kerana ini akan menjimatkan kos penginapan.
Pada waktu pagi seperti biasa kami akan
menjalankan tugas kami melawat koperasi-koperasi untuk penyeliaan dan
pengauditan. Pada waktu petang barulah kami
pergi ke tempat tinggal mentua kawan
saya itu. Di sana kami di sambut dengan
gembira kerana maklumlah ada hubungan keluarga di antara anak mertua dan bapa
mertua.
Tempat tinggal bapa mertua kawan saya
itu terletak di sebelah atas Pekan Tenom, maksud saya di tempat yang tinggi
sedikit kerana terletak di kaki bukit.
Dan sebelah atas lagi terletak Hotel Perkasa Tenom yang terkenal kerana
kisah seramnya. Di sekeliling kuarters
tersebut di tumbuhi oleh pohon-pohon kayu hujan dan pohon lain yang di biarkan
tumbuh sehingga kuarters tersebut terlindung sedikit daripada sinaran cahaya
matahari. Apabila tiba jam 5.00 petang
tempat itu sudah dalam suasana gelap kerana cahaya matahari di lindungi oleh
pohon-pohon dan bukit tinggi kerana kuarters itu terletak di kaki bukit. Apa yang saya nampak juga adalah terdapat
pokok-pokok bunga cempaka(kemboja) yang di tanam di sekeliling kuarters
tersebut.
Selepas mandi kami pergi makan di
kedai makan yang tidak jauh di bawah. Selepas
itu kami balik ke kuarters untuk tidur.
Kebetulan pula pada malam itu orang yang tinggal di sebelah kuarters itu
ada menyediakan minuman tapai untuk meraikan kawan-kawannya. Dan kami pun di jemput sama tetapi saya tidak
minum kerana tidak biasa tapi kawan saya minum.
Bapa mertua kawan saya itupun tidak
minum juga, untuk menjaga kesihatan katanya. Tetapi sementara kami sedang
bercerita-cerita dia sempat menceritakan cerita seram yang di alaminya beberapa
bulan yang lalu. Ceritanya timbul kerana
saya ada bertanya, “Selama uncle tinggal di sini, adakah apa-apa pengalaman
ganjil yang uncle alami?”
Dia menceritakan beberapa bulan yang
lalu, waktu itu dia tinggal seorang diri di kuarters kerana pekerja-pekerja
yang tinggal di situ semuanya balik kampung kerana cuti dan ada yang mempunyai
urusan oeribadi masing-masing.
Waktu itu jam menunjukkan 9.00 malam.
Dia terhidu bau bunga cempaka yang mekar sungguh harum semerbak. Bau harum
bunga cempaka itu seolah-olah membuatnya terkhayal sedikit. Dia
seorang diri mendengar radio di biliknya dan sudah bersedia untuk tidur.
Selepas itu diapun mematikan radionya
kerana matanya sudah mengantuk.
Tiba-tiba dia mendengar suara
perempuan memanggil dari luar untuk minta masuk. Semua jendela dalam rumah kediamannya sudah
di tutup rapat dan pintu utamapun sudah di kunci dari dalam. Dia sudah merasa
seram kerana dia tidak mengenali suara gadis tersebut. Oleh yang demikian dia hanya berdiam diri di
dalam biliknya yang sudah di kunci rapat.
Apa yang menghairankannya adalah tiba-tiba dia mendengar pintu utama
rumah itu terbuka dengan sendiri dan kedengaran ada orang seperti sedang
berjalan dan dengan suara yang mengilai, merayu-rayu dan sungguh menyeramkan
mengetuk-ngetuk pintu biliknya untuk minta masuk. Apa lagi bulu-bulu romanya pun berdiri
menegak. Tetapi dia terus berdoa
bersungguh-sungguh dan memegang rosarynya meminta perlindungan Tuhan. Gangguan itu terus berlanjutan sehingga jam
1.00 pagi barulah suara mengilai itu hilang. Selepas dia rasa selamat barulah dia
keluar dari biliknya, mengunci kembali pintu utama dengan lebih kuat lagi dan
dia memasang semua lampu di rumah itu.
Selepas kejadian itu ada lagi
beberapa gangguan kepada penghuni-penghuni lain dan mereka juga berdoa barulah
gangguan itu hilang.
Lama kelamaan bapa mertua kawan saya
itu sudah terbiasa dengan perkara itu dan dia tidak merasa takut lagi. Mungkin roh itupun sudah terbiasa dengan
mereka jadi tidak lagi mengganggu mereka.
Waktu saya mendengar cerita tersebut
sempat juga bulu roma saya menegak tetapi memandangkan ramai orang di rumah
pada waktu itu perasan saya itu sebentar saja hilang.
Inilah cerita seram di kuarters Jabatan Kesihatan
Tenom. Sama ada ianya masih berlaku
sehingga hari ini sayapun tidak tahu kerana saya telah bersara beberapa tahun
yang lalu. Masa akan datang saya akan
ceritakan lagi pengalaman seorang kawan yang menginap di Hotel Perkasa Tenom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan