Sewaktu saya masih lagi kanak-kanak
pada penghujung tahuan 1960an, rumah-rumah di kampung kami masih sedikit. Penduduk kampung pun masih sedikit. Mungkin pada
waktu itu umur saya baru tujuh atau lapan tahun. Saya sedang bersekolah di Sekolah Rendah
Kebangsaan Luagan yang memang berdekatan dengan kampung kami. Saya mungkin Darjah III atau IV pada waktu
itu.
Kedua-dua orang tua saya memang
penganut agama Kristian dan juga kami sekeluarga. Walaupun begitu ibu bapa saya masih lagi turut
memegang kepercayaan lama iaitu ayah saya masih menyimpan jimat-jimat sementara
ibu saya masih seorang bobolian(bomoh).
Ini mungkin disebabkan kedua orang tua saya belum lagi didedahkan kepada
pengajaran Kristian yang sebenar yang melarang memegang kepercayaan karut dan
hanya percaya kepada Tuhan sahaja.
Saya masih ingat lagi pada setiap
malam jumaat ayah saya akan menyembelih seekor ayam jantan yang putih dan
darahnya akan di sapukan pada peralatan jimatnya yang dia simpan dalam satu kantung
kain kecil berwarna merah. Apa yang saya
nampak peralatan jimatnya diantara lain adalah seperti cengkerang kerang dan
siput laut serta beberapa taring haiwan. Kemudian dia akan membakar kemenyan. Selepas itu barulah dia menyimpannya kembali
ke dalam kantung tersebut.
Pada satu petang, waktu itu saya
masih berada di sekolah kerana saya
dalam aliran sekolah petang satu kejadian aneh berlaku di rumah kami. Waktu itu ibu dan beberapa orang kakak saya
sedang berada di rumah sedangkan ayah saya tiada di rumah. Tiba-tiba mereka mendengar seakan-akan ada
orang melontarkan sesuatu di atap zink rumah kami. Dan selepas itu mendengar
ada serpihan yang jatuh turun menuruni zink itu ke tanah.
Apabila ibu dan kakak-kakak saya
turun melihat ke bawah, mereka mendapati ada serpihan kaca dan paku bertaburan
di bawah rumah. Memandangkan keadaan
kampung kami yang masih kurang penduduk dan jarak rumah yang berjauhan maka
mustahillah itu perbuatan orang. Apabila
mereka memeriksa keadaan sekeliling waktu itu, jelaslah bahawa tidak ada
tanda-tanda kehadiran kanak-kanak nakal dari tempat yang berdekatan.
Nenek saya yang juga seorang bobolian
waktu itu sempat mengumpulkan serpihan kaca dan paku itu ke dalam sebuah botol
dan menutupnya dengan ketat. Menurut
keyakinan ibu dan nenek saya yang merupakan kedua-duanya bobolian, serpihan
kaca dan paku itu merupakan sindaat(buatan) orang tetapi memandangkan ayah saya
ada jimat pelindung, maka sindaat itu tidak berjaya menembusi pertahanan rumah
kami. Menurut ibu saya waktu itu, kalau
ayah saya tiada pendidnding tentu kami sudah kena dan ada kemungkinan besar
kami akan sakit dan mungkin juga ada yang mati.
Yang ganjilnya walaupun serpihan
kaca dan paku itu sudah disimpan ke
dalam sebuah botol yang ditutup ketat, tidak lama kemudian semua benda-benda
itu hilang. Menurut nenek saya ,
benda-bendat tersebut balik kepada tuan mereka kerana kami tidak bersalah.
Walau pun ayah saya ini mempunyai
pegangan jimat tetapi itu tidak dapat menghalang dia daripada sakit teruk pada
tahun 1970 dan akhirnya meninggal dunia pada penghujung tahun 1971. Inilah secebis lagi kisah benar yang berlaku
pada tahun 1960an di kampung kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan