Khamis, 17 Januari 2019

ASAL-USUL NAMA KENINGAU


Keningau adalah satu Daerah di Sabah yang terletak di pedalaman.  Ia juga merupakan nama  kepada bandar yang kelima terbesar di Sabah.

Daerah Keningau merupakan satu kawasan dataran yang luas di mana sebelah baratnya di kelilingi oleh Banjaran  Crocker sedangkan di sebelah timur pula oleh kawasan berbukit-bukau dan juga Dataran Sook.  Kawasan Keningau ini di aliri  oleh dua buah sungai utama iaitu Sungai Pagalan dan Sungai Sook dimana kedua-duanya bersatu dan mengalir ke Sungai Padas di sebelah selatan ke Daerah Tenom.

Penduduk daerah Keningau ini melebehi 100,000 orang dan majoriti terdiri daripada suku kaum Dusun, dan selepas itu Murut kemudian Cina dan suku kaum yang lain.  Pekerjaan utama penduduk adalah selain daripada kakitangan kerajaan dan swasta, yang lain adalah para-peniaga dan pengusaha pertanian seperti kelapa sawit, getah dan tanaman-tanaman lain.
Asal-usul nama Keningau ini menurut orang-orang lama adalah berasal daripada perkataan “KONINGAU”  iaitu sejenis pohon kayu yang banyak tumbuh di banjaran Crocker yang sebenarnya kayu manis dalam istilah sebenar.  Pohon kayu manis ini masih banyak tumbuh di Banjaran Crocker tetapi dari segi komersialnya tidak viable lagipun tumbuh di kawasan Taman Banjaran Crocker yang merupakan kawasan larangan.

Satu lagi versi kenapa nama tempat ini  di namakan  Keningau adalah yang saya dengar daripada salah seorang keturunan Cina.  Dia mengatakan bahawa apabila orang-orang dari suku kaum Cina mula-mula datang ke daerah ini mereka mendapati banyak kerbau sedang berkubang di lopak-lopak yang berlumpur dan semua kerbau yang mandi lumpur itu kelihatan hitam. 

Mereka pun terus mengeluarkan perkataan “Kalingau”   yang bermaksud kerbau hitam, di mana kaling ertinya hitam dan ngau ertinya kerbau.  Lama kelamaan perkataan kalingau berubah menjadi Keningau.   Jadi itulah cerita dua versi bagaimana  asal-usul nama Keningau di perolehi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan