Selasa, 8 Ogos 2017

PENGALAMAN ANEH SEWAKTU MENANGKAP IKAN DI SUNGAI MELALAP TENOM


Pada awal tahun 1990an waktu itu saya masih di katakan agak muda iaitu dalam lingkungan 30an, kegemaran utama saya adalah menangkap ikan di sungai samada dengan menggunakan jala ataupun dengan pukat.

Pada masa itu adalah cuti hari kelepasan am pada keesokan harinya.  Seorang kawan saya yang juga mempunyai kegemaran yang sama telah mengajak saya untuk pergi menangkap ikan.  Kebetulan pula musim itu adalah musim kemarau dan oleh yang demikian sungai-sungai semua surut dan tidak berapa dalam airnya.

Saya mengatakan kepada dia “Ya, bagus kita pergi di kuala sungai Melalap dan sungai Pagalan di Tenom mungkin banyak ikan di sana” “Ok, bagus itu. Nanti kita bermalam satu malam di sana” kata kawan saya itu.  Selepas makan petang dan membawa pakaian ala kadar, air, selimut dan sedikit makanan maka kami pun beredar dengan menggunakan kereta Toyota Corolla DX lama saya. 

Kami sampai di tempat tersebut lebih kurang jam 7.30 malam dan kebetulan pula tiada orang di sana. Selepas parking kereta di tepi sungai Pagalan, kamipun membawa pukat dan memasang di kuala sungai Melalap dan Pagalan yang dalamnya separas pinggang sahaja.
Anak lelaki saya yang ketiga yang baru berunur lebih kurang enam tahun itupun turut serta, kerana di mana saja saya pergi menangkap ikan diapun turut serta.

Selepas memasang pukat, kamipun kembali ke tempat kereta parking dan kami memasang unggun api kecil agar tiada nyamuk mengganggu kami tidur.  Pada jam 10.00 malam saya sempat memeriksa pukat itu dan ada beberapa ekor ikan yang melekat dan saya ambil dan masukkan ke dalam baldi.

Selepas itu kamipun bercerita-cerita lagi dan akhirnya tertidur.  Tetapi di tengah malam saya terbangun untuk buang air kecil, saya memerhatikan cahaya kerlipan kelip-kelip atau kunang-kunang terbang mengelilingi tempat kami tidur.  Dalam fikiran saya, biasalah kalau di tempat yang sunyi dan tiada gangguan, memang banyak kelip-kelip.

Selepas itu kamipun tertidur. Kami terjaga lebih kurang jam 4.30 pagi. Selepas bercerita-cerita sekejap kami bertiga pun berjalan menuju ke tempat pukat itu di pasang dengan membawa sebuah baldi.  Tempat kami memasang pukat itu adalah bahagian sebelah ulu dan bukan lah jauh sangat.  Waktu itu masih lagi samar-samar tapi kalau ada orang yang jauh kita boleh kenal tetapi tidak mengenal rupa.  Dari kejauhan kami melihat ada seperti seorang lelaki sedang berjalan menuju ke arah kami dengan berpakaian kehitam-hitaman.

Kamipun berjalan saja menuju ke arah orang tersebut kerana pukatpun berada di sana.  Tetapi yang menghairankan apabila kami sampai di kuala sungai itu, kami tidak menemui orang tersebut pada hal dengan jelas orang itu berjalan menuju ke arah kami.

Apabila kami sampai di tempat pukat di pasang kami dapati banyak juga ikan yang melekat. Dan kami merasa sungguh gembira kerana mendapat hasil yang memuaskan.  Selepas membahagi dua ikan tersebut kamipun terus pulang ke rumah kami di Keningau.

Di sepanjang perjalanan peristiwa aneh tersebut itulah yang menjadi topik perbualan kami.  Saya rasa penglihatan kami tidak silap kerana ketiga-tiga kami melihat lembaga tersebut. Mungkinkah  ia adalah makhluk penunggu sungai?  Apabila saya ceritakan pengalaman saya kepada isteri saya, isteri saya hanya tersenyum, “Dia ingin berkawan dengan kamu bah itu”.


Inialah pengalaman aneh saya ketika pergi memukat ikan di sungai Melalap Tenom.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan