Pada tahun 1950an dan awal tahun 1960an ada beberapa
kumpulan dari suku kaum Cina telah
berhijrah ke Keningau untuk menetap dan juga telah memohon kawasan tanah yang
luas di sekitar Pekan Keningau .
Keluarga kami telah juga berpindah ke Keningau dan telah menetap di
Kampung Toboh Baru yang jaraknya lima kilometer dari Pekan Keningau.
Kampung kami telah dibuka sekitar tahun 1962 dan demikian
juga SK Luagan yang telah dibuka sekitar tahun tersebut. Tanah bersebelahan
kampung kami merupakan ladang getah kepunyaan tauke Cina. Pada masa sekarang ini terletak Pusat
Kraftangan Sabah. Terletak di sebelah
depannya merupakan Hospital Baru Keningau tetapi dulunya merupakan ladang getah
kepunyaan tauke Cina yang lain.
Dari tahun 1960an sehinggalah hujung tahun 1990an kawasan
tersebut merupakan ladang getah yang ditoreh oleh penduduk-penduduk Kampung Toboh Baru sehinggalah tanah-tanah
tersebut dijual kepada pihak kerajaan dan swasta.
Apa yang saya mahu ceritakan adalah apa yang saya telah lalui
dan dengar pada jangka masa tersebut. Di
kawasan ladang getah tersebut ada terdapat dua buah anak sungai di tempat mana penduduk kampung pergi
menangkap ikan. Pernah satu kali
mendiang bapa saya telah berjaya menangkap
seekor labi-labi yang besar di
mana lebar badannya berukuran dua kaki panjang.
Sementara ikan-ikannya kebanyakannya jenis lampam, haruan, sepat, puyu
dan keli. Saya dan kawan-kawan pula
selalu pergi melastik burung dan tupai di kawasan ladang tersebut dan kawasan
semak belukar yang tidak di tanam apa-apa.
Kawasan tepi anak sungai juga banyak ditumbuhi dengan pakis
dan buluh di mana ramai penduduk kampung memetiknya untuk di buat sayur. Tidak kurang pula kulat dan cendawan yang
tumbuh dan di jadikan sumber makanan tambahan penduduk kampung.
Pada waktu itu memag belum ada gas memasak jadi semua
penduduk kampung terpaksa mencari kayu api, dan kawasan ladang getah dan
sekitarnya adalah tempat untuk mencari kayu api.
Saya ingin menceritakan satu cerita yang di ceritakan oleh
mendiang ibu saya. Ada seorang tauke
Cina yang bernama Ah Sik telah mendapat
sebidang tanah seluas sepuluh ekar yang berdekatan dengan Kampung Tudan Baru sekarang ini. Peristiwa ini
berlaku di sekitar awal tahun 1960an. Seperti tuan tanah yang lain maka diapun
menanam getah di tanahnya. Kebiasaannya
memang mereka buat rumah kongsi untuk
kediaman sendiri ataupun orang yang mereka upah untuk menoreh getah.
Kawasan ladangnya merupakan kawasan yang paling tinggi dan
dibawahnya terdapatlah kawasan berair dan berpaya dan kawasan di sekitarnya
belum dibuka dan merupakan kawasan semak belukar yang tebal. Kalau ada yang merayau-rayau keseorangan di
kawasan itu memang menakutkan dan menyeramkan kerana tiada satupun rumah lain
yang dibina kecuali rumah kongsi tersebut.
Pada satu hari mendiang Ah Sik ini telah pergi melawat
ladangnya dengan membawa senapangnya kerana memang masih ada haiwan liar
seperti pelanduk, kijang dan rusa yang berkeliaran di kawasan tersebut kerana
bilangan pendudukpun masih sangat kurang waktu itu.
Selepas dia berjalan-jalan maka diapun pergi ke pondoknya
untuk berehat. Setelah makan bekalan
yang di bawanya, diapun tidur sebentar untuk berehat sebelum pulang ke rumahnya
di kawasan Pekan Keningau. Tiba-tiba dia
melihat seperti seekor burung keluang hitam (gawir) yang besar terbang dan hinggap
di bumbung pondoknya.
Keluang tersebut bergantung di kayu bumbung pondoknya dengan
mata yang merah menyala dan gigi yang menyeringai. Apa yang menyeramkan dan menakutkan bagi si
Ah Sik adalah saiz keluang tersebut jauh lebih besar daripada keluang biasa. Ia lebih menyerupai seperti sebuah
payung hitam yang besar.
Oleh kerana ketakutan dan tanpa berfikir panjang diapun
mengambil senapangnya dan terus menembak keluang tersebut. Tembakan tersebut telah meningalkankesan
sebuah lubang besar di atap zing pondok nya. Tapi keluang itu lut peluru(kebal)
dan dengan mengeluarkan satu ngauman kuat hooom grrr...... keluang itu terus terbang lalu hinggap di dahan pohon
ara yang terletak bersebelahan dengan Hospital Baru Keningau sekarang ini dimana sekarang ini terletak bangunan kedai One Plaza dan berdepan dengan SK Luagan Keningau. Seluruh kawasan tersebut iaitu ladang Ah
Sik dan kawasan pokok ara dahulu,
sekarang ini di kenali dengan nama Taman Rakyat Keningau.
Apa yang berlaku selepas itu adalah selang beberapa hari si Ah Sik ini telah jatuh
sakit lalu meninggal dunia dan tanahnya di warisi oleh anak-anaknya.
Untuk memastikan kebenaran kata-kata ibu saya, maka saya dan
rakan-rakan telah pergi ke pondok
tersebut dan memang ada lubang besar di atap zing bumbungnya. Pada masa ini kawasan ladangnya telah di
majukan sebagai kawasan perumahan.
Inilah serba sedikit kisah yang berlaku di kawasan kami pada tahun
1960an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan