Pada hujung tahun 1960an dan awal
tahun 1970 an keadaan di kampung-kampung
di Keningau bahkan di seluruh Sabah pun masih dalam keadaan daif dan
sangat kurang sekali pembangunan mahupun kemudahan asas.
Kampung kami yang terletak hanya lima
kilometer daripada Bandar Keningau pun segala-galanya tiada kemudahan. Bekalan elektrik dan air paip tiada. Tv tiada
telefonpun tiada. Perhubungan utama
penduduk kampung ke Bandar
Keningau adalah dengan menaiki basikal kerana kenderaanpun masih kurang. Bahkan
jalan-raya pun masih belum di aspal.
Sumber utama kami mendengar berita adalah kebanyakannya melalui radio.
Saya masih ingat waktu itu tahun 1970
ketika saya berumur sepuluh tahun.
Seperti kebiasaan bagi kanak-kanak dalam umur begitu, selepas habis
sekolah kami selalu merayau-rayau di sekitar kampung sambil bermain-main. Dan permainan utama kami adalah seperti main
gelang getah, guli, gasing, main gala, roundup dan banyak lagi yang lain. Kadang-kadang kami main sembunyi-sembunyi
kerana kampung kami masih banyak semak belukar. Rumah-rumah pun masih kurang
dan penduduk masih sedikit.
Apabila menjelang malam kami akan
memasang unggun api di kawasan lapang dan di situlah kami berkumpul berkeliling
sambil bermain-main dan bernyanyi. Apabila sudah lebih kurang jam sembilan
malam barulah kami pulang ke rumah.
Tetapi apa yang paling menakjubkan
kami pada waktu itu adalah pertunjukan bola-bola api dan percikannya di kawasan
sawah di sebelah bawah kampung kami.
Kebetulan kampung kami terletak di atas dataran yang tinggi sedikit
daripada kawasan sawah yang luas di sebelah bawahnya.
Pada waktu malam menjelang jam 10.00
malam bermulalah pertunjukan bola-bola api dan percikannya di sepanjang tali
air sawah itu yang jauhnya dari kampung kami adalah lebih kurang satu kilometer
sahaja. Belum ada rumah lagi yang di
bina di kawasan sawah tersebut kecuali pondok sawah padi.
Mula-mula ada satu barisan yang
memegang obor api berjalan ke hulu dan ke hilir tali air tersebut. Kemudian barisan itu berhenti di pertengahan
dan menjadi beberapa bola api yang
besar. Kemudian bola itu akan melambung
ke atas dan berpecah kembali sama seperti letupan bunga api. Kemudian proses
itu berulang sehingga menjelang subuh.
Kami yang masih kanak-kanak bahkan
yang sudah dewasapun tidak berani untuk mendekati kawasan tersebut kerana takut
apa-apa yang buruk akan berlaku. Pernah ada seorang lelaki di kampung kami yang
pulang ke rumahnya yang terletak di penghujung tali air di sebelah bawah(hlir). Waktu itu dia dalam berkeadaan mabuk,
berjalan menyusuri tali air tersebut.
Pada malam itu dia terserampak dengan
barisan yang memegang obor api tersebut.
Diapun berteriak dan mengejar barisan obor tersebut tetapi barisan itu
menghilang. Apa yang lelaki tersebut
nampak adalah arang yang sudah tiada bara api.
Apabila dia balik ke rumahnya, dia
menceritakan kejadian itu kepada isterinya. Selepas itu dia demam panas selama
tiga hari, nasib baiklah dia dapat sembuh balik. Selepas kejadian itu lelaki tersebut tidak
lagi berani mengganggu barisan api itu kalau dia terserampak. Dia hanya mengatakan, “ Minta maaf
saudara-saudara, saya tumpang lalu dulu”.
Dan tiada apa-apa berlaku kepada dia.
Itulah kenang-kenangan saya pada
tahun 1960 an dan 1970an tetapi selepas itu saya tidak lagi ada masa untuk
bersama dengan rakan-rakan kerana saya telah melanjutkan pelajaran ke
Semenanjung Malaysia dan selepas itu bekerja dan berumah tangga.
Saya difahamkan kejadian seumpama itu
tiada sudah kerana saya rasa beberapa faktor.
Selepas ada bekalan letrik dan
ada jalan raya di tali air tersebut mungkin mereka merasa terganggu dan
berpindah ke tempat lain yang lebih aman dan tiada gangguan. Walau bagai
manapun peristiwa itu tetap segar dalam ingatan saya sampai bila-bila bahkan sampailah
ke akhir hayat saya.
Ini adalah satu kesah yang benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan