Isnin, 14 Ogos 2017

SALAH SATU KEBOLEHAN IBU SAYA SEBAGAI SEORANG BOBOLIAN



Seperti yang ceritakan dalam blog yang lalu ibu saya merupakan seorang bobolian(bomoh wanita)  Sebagai seorang bobolian ibu saya ini mempunyai beberapa kebolehan iaitu  mengubati orang sakit yang terkena buatan orang maupun buatan makhluk halus.  Satu lagi kelebihannya adalah boleh memberitahu tentang apa-apa yang hilang, samaada masih boleh ditemui atau disebaliknya.

Pada tahun 1960an dan awal tahun 1970an   di sekitar kampung kami masih banyak berkeliaran kerbau-kerbau.  Kebetulan pula di kawasan bersebelahan dengan kampung kami merupakan ladang getah kepunyaan orang-orang Cina.  Ladang-ladang getah pula itu tidak dipagar dengan sempurna jadi kerbau-kerbaupun banyak yang berkeliaran untuk mencari makanan ataupun berkubang di lopak-lopak yang berlumpur.

Di kampung kami adalah beberapa orang yang memelihara kerbau samada untuk digunakan bagi membajak sawah mahupun untuk menampung perbelanjaan keluarga.  Tetapi kadang-kadang ada juga kejadian dimana ada yang kehilangan kerbau mereka.

Kalau ada berlaku kejadian kehilangan kerbau, maka mereka akan datang berjumpa dengan ibu saya dan meminta petunjuk samada kerbau itu masih boleh di temui atau tidak. Kalau ibu saya tiada halangan maka dia akan bersetuju dengan permintaan mereka.  Dan biasanya tenungannya itu betul. 

Saya  pernah bertanya kepada ibu saya, bagaimana beliau boleh membuat ramalan(tenungan).  Ibu saya mengatakan dia mesti pergi ke satu tempat yang sunyi di mana tiada orang yang boleh melihatnya.  Kebetulan ladang getah di sebelah kampung kami itu agak semak dan tidak ramai orang lalu-lalang jadi di situlah beliau menjalankan upacara buat ramalan(tenungan)  Menurut ibu saya, apabila beliau sampai di satu tempat dia akan membersihkan satu kawaan yang kecil.  Selepas itu beliaupun akan membaca mantera ataupun runait dalam bahasa Dusun.   Selepas itu dia akan meletakkan sebutir beras di kawasan lapang yang telah di bersihkan.  Tidak lama kemudian akan datang seekor semut hitam.  Kalau kerbau itu hilang dan telah di curi orang dan telah di sembelih ataupun dijual maka semut itu akan mengambil beras itu dan terus membawanya pergi dan tidak boleh dilihat lagi.

Tetapi di sebaliknya kalau kerbau itu masih ada, semut itu hanya akan mengambil beras itu dan memindahkannya ke tempat yang berdekatan lalu semut itupun menghilang. Ini bererti kerbau itu masih ada tapi hanya tidak di temui ataupun kerbau itu sudah diikat cuma belum di jual dan masih boleh ditemui kalau di cari dengan cepat.  Biasanya jaranglah ramalan ibu saya itu tidak tepat, dan itulah sebabnya ramai orang datang ke rumah kami kalau ada yang kehilangan benda-benda besar terutama sekali kerbau.

Dalam blog yang akan datang saya akan menceritakan kebolehan ibu saya yang lain seperti mengubati orang sakit dan juga kebolehannya melihat pemandangan-pemandangan yang supernatural(yang menyeramkan).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan