Selasa, 22 Ogos 2017

CERITA SERAM DARIPADA SEORANG SEPUPU


Ada seorang sepupu saya dari Kg. Kapayan Baru, Apin-Apin Keningau bernama Ryner pada masa itu bekerja di Kota Kinabalu.  Pada waktu itu dia tinggal di Kota Kinabalu tetapi hujung minggu dia akan balik ke kampungnya di Apin-Apin Keningau.

Biasanya dia akan balik pada petang hari Jumaat kerana hari Sabtu dan Ahad adlah kelepasan am.  Kenderaan yang dia gunakan pada masa itu adalah sebuah van.

Apabila saya bertanya kepada beliau apakah pengalamannya  yang tidak dapat di lupakan semasa beliau berulang-alik dari Apin-Apin ke Kota Kinabalu dan sebaliknya, inilah cerita beliau.

Seperti biasanya pada petang hari Jumaat beliau akan balik ke kampungnya di Apin-Apin Keningau.  Dan apabila dia dalam perjalanan dari Penampang ke Tambunan biasanya hari sudah berangsur malam.  Biasanya pada waktu itu kenderaan sudah kurang. Salah satu penyebabnya adalah dengan terbinanya satu lebuh raya dari Keningau melalui Kimanis dan ke Kota Kinabalu dan sebaliknya. Dan jalan itu lebih lurus dan pendek daripada jalan Keningau Tambunan dan Kota Kinabalu.

Semasa dia sedang memandu vannya dan jalan mulai menaik ke Gunung Emas dia nampak ada seorang gadis menahannya.  Apabila di tanya gadis itu mengatakan ingin menumpang kerana tiada sudah kenderaan lain.  Beliau tidak mengesyaki apa-apa waktu itu.  Setelah beberapa lama mereka sampai di satu kawasan yang masih berhutan dan gadis itu minta berhenti di situ.  Ryner merasa hairan kerana tiada pun tanda-tanda ada rumah atau pondok di tempat tersebut.  Tetapi dia teruskan perjalanan sampai ke rumah.

Minggu berikutnya perkara seumpama itu berlaku lagi tetapi yang membuatnya rasa hairan adalah gadis itu berbau tanah lumpur.  Kemudian mereka tiba di satu tempat dan perempuan itu minta berhenti di sana.  Apabila beliau melihat perempuan itu sekali lagi dia sudah menghilang.  Barulah dia perasan bahawa tempat dia menghentikan vannya itu merupakan tanah perkuburan.

Kemudian dia menceritakan kejadian tersebut kepada isteri dan rakan-rakannya.  Dan mereka menasihati beliau supaya jangan lagi berhenti kalau ada perempuan yang menahannya di tengah jalan kerana itu adalah bukan manusia biasa tetapi jelmaan.

Minggu seterusnya dia pulang lagi pada petang Jumaat.  Dan apabila dia sampai di tempat kebiasaanya dia dapat melihat seorang gadis sedang menunggu di jalan raya dan melambai-lambaikan tangannya.  Saudara Ryner tidak menghiraukannya  dan terus melajukan kenderaannya.  Tetapi alangkah terperanjatnya beliau kerana gadis itu sedang duduk di belakang vannya.   Apalagi diapun merasa takut pun ada, serampun ada, tetapi dia hanya mendiamkan dirinya dan terus memandu dengan tenang sambil berdoa.  Apabila mereka sampai di kawasan yang banyak rumah orang barulah gadis itu hilang.

Mulai dari saat itu saudara Ryner tidak lagi pulang pada waktu malam.  Dia hanya pulang pada waktu siang sewaktu masih banyak kenderaan sehinggalah dia dapat pekerjaan di Keningau.  Itulah pengalaman yang cukup menyeramkan yang di alami oleh sepupu saya Ryner.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan