Selasa, 22 Ogos 2017

CERITA SERAM DARIPADA SEORANG SEPUPU


Ada seorang sepupu saya dari Kg. Kapayan Baru, Apin-Apin Keningau bernama Ryner pada masa itu bekerja di Kota Kinabalu.  Pada waktu itu dia tinggal di Kota Kinabalu tetapi hujung minggu dia akan balik ke kampungnya di Apin-Apin Keningau.

Biasanya dia akan balik pada petang hari Jumaat kerana hari Sabtu dan Ahad adlah kelepasan am.  Kenderaan yang dia gunakan pada masa itu adalah sebuah van.

Apabila saya bertanya kepada beliau apakah pengalamannya  yang tidak dapat di lupakan semasa beliau berulang-alik dari Apin-Apin ke Kota Kinabalu dan sebaliknya, inilah cerita beliau.

Seperti biasanya pada petang hari Jumaat beliau akan balik ke kampungnya di Apin-Apin Keningau.  Dan apabila dia dalam perjalanan dari Penampang ke Tambunan biasanya hari sudah berangsur malam.  Biasanya pada waktu itu kenderaan sudah kurang. Salah satu penyebabnya adalah dengan terbinanya satu lebuh raya dari Keningau melalui Kimanis dan ke Kota Kinabalu dan sebaliknya. Dan jalan itu lebih lurus dan pendek daripada jalan Keningau Tambunan dan Kota Kinabalu.

Semasa dia sedang memandu vannya dan jalan mulai menaik ke Gunung Emas dia nampak ada seorang gadis menahannya.  Apabila di tanya gadis itu mengatakan ingin menumpang kerana tiada sudah kenderaan lain.  Beliau tidak mengesyaki apa-apa waktu itu.  Setelah beberapa lama mereka sampai di satu kawasan yang masih berhutan dan gadis itu minta berhenti di situ.  Ryner merasa hairan kerana tiada pun tanda-tanda ada rumah atau pondok di tempat tersebut.  Tetapi dia teruskan perjalanan sampai ke rumah.

Minggu berikutnya perkara seumpama itu berlaku lagi tetapi yang membuatnya rasa hairan adalah gadis itu berbau tanah lumpur.  Kemudian mereka tiba di satu tempat dan perempuan itu minta berhenti di sana.  Apabila beliau melihat perempuan itu sekali lagi dia sudah menghilang.  Barulah dia perasan bahawa tempat dia menghentikan vannya itu merupakan tanah perkuburan.

Kemudian dia menceritakan kejadian tersebut kepada isteri dan rakan-rakannya.  Dan mereka menasihati beliau supaya jangan lagi berhenti kalau ada perempuan yang menahannya di tengah jalan kerana itu adalah bukan manusia biasa tetapi jelmaan.

Minggu seterusnya dia pulang lagi pada petang Jumaat.  Dan apabila dia sampai di tempat kebiasaanya dia dapat melihat seorang gadis sedang menunggu di jalan raya dan melambai-lambaikan tangannya.  Saudara Ryner tidak menghiraukannya  dan terus melajukan kenderaannya.  Tetapi alangkah terperanjatnya beliau kerana gadis itu sedang duduk di belakang vannya.   Apalagi diapun merasa takut pun ada, serampun ada, tetapi dia hanya mendiamkan dirinya dan terus memandu dengan tenang sambil berdoa.  Apabila mereka sampai di kawasan yang banyak rumah orang barulah gadis itu hilang.

Mulai dari saat itu saudara Ryner tidak lagi pulang pada waktu malam.  Dia hanya pulang pada waktu siang sewaktu masih banyak kenderaan sehinggalah dia dapat pekerjaan di Keningau.  Itulah pengalaman yang cukup menyeramkan yang di alami oleh sepupu saya Ryner.


Isnin, 14 Ogos 2017

SALAH SATU KEBOLEHAN IBU SAYA SEBAGAI SEORANG BOBOLIAN



Seperti yang ceritakan dalam blog yang lalu ibu saya merupakan seorang bobolian(bomoh wanita)  Sebagai seorang bobolian ibu saya ini mempunyai beberapa kebolehan iaitu  mengubati orang sakit yang terkena buatan orang maupun buatan makhluk halus.  Satu lagi kelebihannya adalah boleh memberitahu tentang apa-apa yang hilang, samaada masih boleh ditemui atau disebaliknya.

Pada tahun 1960an dan awal tahun 1970an   di sekitar kampung kami masih banyak berkeliaran kerbau-kerbau.  Kebetulan pula di kawasan bersebelahan dengan kampung kami merupakan ladang getah kepunyaan orang-orang Cina.  Ladang-ladang getah pula itu tidak dipagar dengan sempurna jadi kerbau-kerbaupun banyak yang berkeliaran untuk mencari makanan ataupun berkubang di lopak-lopak yang berlumpur.

Di kampung kami adalah beberapa orang yang memelihara kerbau samada untuk digunakan bagi membajak sawah mahupun untuk menampung perbelanjaan keluarga.  Tetapi kadang-kadang ada juga kejadian dimana ada yang kehilangan kerbau mereka.

Kalau ada berlaku kejadian kehilangan kerbau, maka mereka akan datang berjumpa dengan ibu saya dan meminta petunjuk samada kerbau itu masih boleh di temui atau tidak. Kalau ibu saya tiada halangan maka dia akan bersetuju dengan permintaan mereka.  Dan biasanya tenungannya itu betul. 

Saya  pernah bertanya kepada ibu saya, bagaimana beliau boleh membuat ramalan(tenungan).  Ibu saya mengatakan dia mesti pergi ke satu tempat yang sunyi di mana tiada orang yang boleh melihatnya.  Kebetulan ladang getah di sebelah kampung kami itu agak semak dan tidak ramai orang lalu-lalang jadi di situlah beliau menjalankan upacara buat ramalan(tenungan)  Menurut ibu saya, apabila beliau sampai di satu tempat dia akan membersihkan satu kawaan yang kecil.  Selepas itu beliaupun akan membaca mantera ataupun runait dalam bahasa Dusun.   Selepas itu dia akan meletakkan sebutir beras di kawasan lapang yang telah di bersihkan.  Tidak lama kemudian akan datang seekor semut hitam.  Kalau kerbau itu hilang dan telah di curi orang dan telah di sembelih ataupun dijual maka semut itu akan mengambil beras itu dan terus membawanya pergi dan tidak boleh dilihat lagi.

Tetapi di sebaliknya kalau kerbau itu masih ada, semut itu hanya akan mengambil beras itu dan memindahkannya ke tempat yang berdekatan lalu semut itupun menghilang. Ini bererti kerbau itu masih ada tapi hanya tidak di temui ataupun kerbau itu sudah diikat cuma belum di jual dan masih boleh ditemui kalau di cari dengan cepat.  Biasanya jaranglah ramalan ibu saya itu tidak tepat, dan itulah sebabnya ramai orang datang ke rumah kami kalau ada yang kehilangan benda-benda besar terutama sekali kerbau.

Dalam blog yang akan datang saya akan menceritakan kebolehan ibu saya yang lain seperti mengubati orang sakit dan juga kebolehannya melihat pemandangan-pemandangan yang supernatural(yang menyeramkan).


Rabu, 9 Ogos 2017

KELIP-KELIP YANG SEBENAR ATAU JADIAN?



Kebanyakan kita di sini tahu apa itu kelip-kelip ataupun kunang-kunang . ataupun dalam Bahasa Inggeris fireflies.
Kelip-kelip itu sebenarnya adalah  sejenis serangga yang boleh mengeluarkan cahaya dari badannya pada pawktu malam.  Pada waktu siang ia tidak aktif tetapi pada waktu malam mereka sangat aktif berterbangan samada dalam kumpulan besar atau kumpulan kecil.

Kalau kita berjalan di hutan ataupun belukar yang tebal pada waktu malam yang gelap dan tiada hujan, kita akan melihat mereka dengan jelas dan merupakan suatu pemandangan yang sangat  indah.  Tetapi kalau kita berjalan keseorangan perasan indah dan cantik itu akan berubah menjadi seram.

Ada beberapa orang yang saya dengar mengatakan bahawa kelip-kelip yang kita nampak itu ada dua jenis, yang satu adalah yang sebenar dan yang satu adalah jadian.  Oleh yang demikian kalau kita nampak kelip-kelip di sekitar kita pada waktu malam janganlah kita celupar mulut.  Pernah satu ketika ada seorang yang celupar apabila dia ternampak sekumpulan kelip-kelip.  Tanpa disedari dia telah tersesat jalan dan keesokan harinya barulah dia dapat pulang.

Pernah satu ketika saya tidur keseorangan di rumah kerana isteri saya pergi menjaga cucu yang baru di lahirkan di Kota Kinabalu. Memang kebiasaannya kalau saya tidur, saya kan matikan lampu kerana saya tidak boleh tidur kalau lampu terpasang.  Sesudah mengunci pintu rumah dan memasang lampu di luar sayapun pergi ke bilik untuk tidur.  Yang menghairankan saya adalah apabila saya masuk ke bilik yang dalam keadaan gelap saya melihat sepasang kelip-kelip yang mengeluarkan cahaya yang menarik sedang terbang mengelilingi bilik saya . Perasaan saya waktu itu macam biasa saja dan romantik pula. 

Selepas itu sayapun tertidur,  dan tiba-tiba dalam tidur saya itu saya melihat seorang gadis cantik yang berpakaian indah dan rapi sedang tidur di sebelah saya.  Perasaan saya biasa saja dan suka pula dan seolah-olah dia adalah seorang bidadariyang rupawan.  Selepas itu saya terbangun untuk buang air kecil dan timbul pula perasaan seram saya. Saya rasakan bulu roma saya berdiri.   Kemudian saya memasang lampu dan berdoa.  Dan seperti biasa gangguan itu berulang sampailah saya berdoa tiga kali barulah ia hilang dalam mimpi saya.


Selepas itu saya tidak lagi mengalami kejadian seumpama itu kerana saya jarang sudah melihat kelip-kelip.  Bagi saudara dan saudari yang melihat kelip-kelip di waktu malam  berhati-hatilah dan janganlah bermulut celupar kerana ia mungkin kelip-kelip jadian.   

Selasa, 8 Ogos 2017

PENGALAMAN ANEH SEWAKTU MENANGKAP IKAN DI SUNGAI MELALAP TENOM


Pada awal tahun 1990an waktu itu saya masih di katakan agak muda iaitu dalam lingkungan 30an, kegemaran utama saya adalah menangkap ikan di sungai samada dengan menggunakan jala ataupun dengan pukat.

Pada masa itu adalah cuti hari kelepasan am pada keesokan harinya.  Seorang kawan saya yang juga mempunyai kegemaran yang sama telah mengajak saya untuk pergi menangkap ikan.  Kebetulan pula musim itu adalah musim kemarau dan oleh yang demikian sungai-sungai semua surut dan tidak berapa dalam airnya.

Saya mengatakan kepada dia “Ya, bagus kita pergi di kuala sungai Melalap dan sungai Pagalan di Tenom mungkin banyak ikan di sana” “Ok, bagus itu. Nanti kita bermalam satu malam di sana” kata kawan saya itu.  Selepas makan petang dan membawa pakaian ala kadar, air, selimut dan sedikit makanan maka kami pun beredar dengan menggunakan kereta Toyota Corolla DX lama saya. 

Kami sampai di tempat tersebut lebih kurang jam 7.30 malam dan kebetulan pula tiada orang di sana. Selepas parking kereta di tepi sungai Pagalan, kamipun membawa pukat dan memasang di kuala sungai Melalap dan Pagalan yang dalamnya separas pinggang sahaja.
Anak lelaki saya yang ketiga yang baru berunur lebih kurang enam tahun itupun turut serta, kerana di mana saja saya pergi menangkap ikan diapun turut serta.

Selepas memasang pukat, kamipun kembali ke tempat kereta parking dan kami memasang unggun api kecil agar tiada nyamuk mengganggu kami tidur.  Pada jam 10.00 malam saya sempat memeriksa pukat itu dan ada beberapa ekor ikan yang melekat dan saya ambil dan masukkan ke dalam baldi.

Selepas itu kamipun bercerita-cerita lagi dan akhirnya tertidur.  Tetapi di tengah malam saya terbangun untuk buang air kecil, saya memerhatikan cahaya kerlipan kelip-kelip atau kunang-kunang terbang mengelilingi tempat kami tidur.  Dalam fikiran saya, biasalah kalau di tempat yang sunyi dan tiada gangguan, memang banyak kelip-kelip.

Selepas itu kamipun tertidur. Kami terjaga lebih kurang jam 4.30 pagi. Selepas bercerita-cerita sekejap kami bertiga pun berjalan menuju ke tempat pukat itu di pasang dengan membawa sebuah baldi.  Tempat kami memasang pukat itu adalah bahagian sebelah ulu dan bukan lah jauh sangat.  Waktu itu masih lagi samar-samar tapi kalau ada orang yang jauh kita boleh kenal tetapi tidak mengenal rupa.  Dari kejauhan kami melihat ada seperti seorang lelaki sedang berjalan menuju ke arah kami dengan berpakaian kehitam-hitaman.

Kamipun berjalan saja menuju ke arah orang tersebut kerana pukatpun berada di sana.  Tetapi yang menghairankan apabila kami sampai di kuala sungai itu, kami tidak menemui orang tersebut pada hal dengan jelas orang itu berjalan menuju ke arah kami.

Apabila kami sampai di tempat pukat di pasang kami dapati banyak juga ikan yang melekat. Dan kami merasa sungguh gembira kerana mendapat hasil yang memuaskan.  Selepas membahagi dua ikan tersebut kamipun terus pulang ke rumah kami di Keningau.

Di sepanjang perjalanan peristiwa aneh tersebut itulah yang menjadi topik perbualan kami.  Saya rasa penglihatan kami tidak silap kerana ketiga-tiga kami melihat lembaga tersebut. Mungkinkah  ia adalah makhluk penunggu sungai?  Apabila saya ceritakan pengalaman saya kepada isteri saya, isteri saya hanya tersenyum, “Dia ingin berkawan dengan kamu bah itu”.


Inialah pengalaman aneh saya ketika pergi memukat ikan di sungai Melalap Tenom.

Ahad, 6 Ogos 2017

BITCOIN SATU PERKEMBANGAN YANG MENGGEMPARKAN



Beberapa tahun yang lalu, saya selaku orang yang sentiasa berdampingan dengan internet ada terbaca mengenai Bitcoin yang di war-warkan sebagai satu matawang baru.  Matawang ini sebenarnya bukanlah matawang yang kelihatan tetapi matawang elektronik yang boleh digunakan untuk urusniaga menjual dan membeli dan boleh ditukarakn ke matawang yang kita kehendaki.  Tetapi umumnya lebih kepada US dollar.

Pada waktu itu saya bersikap acuh-tak acuh sahaja kerana saya kurang pemahaman tentang bitcoin dan tiada orang yang memberi penjelasan. Bayangkan kalau waktu itu pada tahun 2013   1 Bitcoin= USD22.00.   tetapi sekarang telah meningkat  kepada 14,656% di mana hari ini (6/8/17)  1 bitcoin=USD3,224.37(RM13,797.00)

Kalau saya membeli 10 bitcoin pada tahun 2013 maka saya sudah ada RM133,970  pada hari ini.  Kalau saya ada 100 BTC saya sudah jadi jutawan pada hari ini.

Tetapi jangan bimbang kerana peluang masih terbuka luas.  Ada yang menjangka harga bitcoin akan meningkat kepada RM40,000  1 bitcoin pada tahun depan.
Oleh itu rebutlah peluang ini untuk membeli bitcoin sekarang.  Anda juga boleh melombong bitcoin dengan percuma di banyak platform di internet.

Sebagai permulaan anda boleh membuka akaun e wallet bitcoin di LUNO.  Untuk mendaftar sila klik di link ini>>https://www.luno.com/invite/6DTDR
Selepas anda memasukkan wang di akaun  ewallet anda di LUNO.. anda boleh beli BITCOIN di akaun luno dan boleh menjualnya kembali apabila harga bitcoin telah meningkat.

Selain daripada itu anda juga boleh mengumpulkan bitcoin secara percuma di link-link seperti di bawah ini:
https://icoincash.com/?ref=johngie


SELAMAT MENCUBA DAN SELAMAT MAJU JAYA

Khamis, 3 Ogos 2017

PERISTIWA ANEH SEWAKTU MASIH KANAK-KANAK



Sewaktu saya masih lagi kanak-kanak pada penghujung tahuan 1960an, rumah-rumah di kampung kami masih sedikit.  Penduduk kampung pun masih sedikit. Mungkin pada waktu itu umur saya baru tujuh atau lapan tahun.  Saya sedang bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Luagan yang memang berdekatan dengan kampung kami.  Saya mungkin Darjah III atau IV pada waktu itu.

Kedua-dua orang tua saya memang penganut agama Kristian dan juga kami sekeluarga.  Walaupun begitu ibu bapa saya masih lagi turut memegang kepercayaan lama iaitu ayah saya masih menyimpan jimat-jimat sementara ibu saya masih seorang bobolian(bomoh).   Ini mungkin disebabkan kedua orang tua saya belum lagi didedahkan kepada pengajaran Kristian yang sebenar yang melarang memegang kepercayaan karut dan hanya percaya kepada Tuhan sahaja.

Saya masih ingat lagi pada setiap malam jumaat ayah saya akan menyembelih seekor ayam jantan yang putih dan darahnya akan di sapukan pada peralatan jimatnya yang dia simpan dalam satu kantung kain kecil berwarna merah.  Apa yang saya nampak peralatan jimatnya diantara lain adalah seperti cengkerang kerang dan siput laut serta beberapa taring haiwan.  Kemudian dia akan membakar kemenyan.  Selepas itu barulah dia menyimpannya kembali ke dalam kantung tersebut.

Pada satu petang, waktu itu saya masih berada di sekolah kerana  saya dalam aliran sekolah petang satu kejadian aneh berlaku di rumah kami.  Waktu itu ibu dan beberapa orang kakak saya sedang berada di rumah sedangkan ayah saya tiada di rumah.  Tiba-tiba mereka mendengar seakan-akan ada orang melontarkan sesuatu di atap zink rumah kami. Dan selepas itu mendengar ada serpihan  yang jatuh  turun menuruni zink itu ke tanah.

Apabila ibu dan kakak-kakak saya turun melihat ke bawah, mereka mendapati ada serpihan kaca dan paku bertaburan di bawah rumah.  Memandangkan keadaan kampung kami yang masih kurang penduduk dan jarak rumah yang berjauhan maka mustahillah itu perbuatan orang.  Apabila mereka memeriksa keadaan sekeliling waktu itu, jelaslah bahawa tidak ada tanda-tanda kehadiran kanak-kanak nakal dari tempat yang berdekatan.

Nenek saya yang juga seorang bobolian waktu itu sempat mengumpulkan serpihan kaca dan paku itu ke dalam sebuah botol dan menutupnya dengan ketat.  Menurut keyakinan ibu dan nenek saya yang merupakan kedua-duanya bobolian, serpihan kaca dan paku itu merupakan sindaat(buatan) orang tetapi memandangkan ayah saya ada jimat pelindung, maka sindaat itu tidak berjaya menembusi pertahanan rumah kami.  Menurut ibu saya waktu itu, kalau ayah saya tiada pendidnding tentu kami sudah kena dan ada kemungkinan besar kami akan sakit dan mungkin juga ada yang mati.

Yang ganjilnya walaupun serpihan kaca  dan paku itu sudah disimpan ke dalam sebuah botol yang ditutup ketat, tidak lama kemudian semua benda-benda itu hilang.  Menurut nenek saya , benda-bendat tersebut balik kepada tuan mereka kerana kami tidak bersalah.

Walau pun ayah saya ini mempunyai pegangan jimat tetapi itu tidak dapat menghalang dia daripada sakit teruk pada tahun 1970 dan akhirnya meninggal dunia pada penghujung tahun 1971.   Inilah secebis lagi kisah benar yang berlaku pada tahun 1960an di kampung kami.