Isnin, 4 Disember 2017

KINABALU GUNUNG KERAMAT BAGI ORANG-ORANG DUSUN


Kinabalu adalah sebuah gunung yang terletak di Sabah Malaysia.  Dengan ketinggian melebehi 4000 meter dari paras laut, ia merupakan gunung yang tertinggi di Borneo.

Gunung Kinabalu merupakan sebuah gunung yang sangat terkenal di seluruh dunia, di mana ramai orang dari segala pelosok dunia telah datang untuk mendakinya.   Kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu  yang berlaku pada 5 Jun 2015 dengan kekuatan 6 skala richter yang telah mengorbankan 18 nyawa dan 10 kecederaan tidak menghalang orang-ramai daripada terus datang dan mendaki Gunung Kinabalu.

Saya sendiri telah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1979 dan 1984.  Waktu itu bayaran untuk mendaki masih sangat murah berbanding dengan masa sekarang ini.

Gunung Kinabalu adalah sebuah gunung yang indah dan terdiri dari batu granit dan bukan gunung berapi.  Di kawasan kemuncaknya cuaca adalah sangat sejuk pada waktu malam dan boleh mencapai 0 Darjah Celsius. Kawasan flora dan faunanya masih lagi asli mengkagumkan bagi mereka yang pencinta alam.

Sewaktu saya pertama kali mendaki Gunung Kinabalu,  kami tidak berapa bernasib baik kerana kami di basahi oleh hujan yang turun, iaitu selepas power station sehinggalah tiba di perhentian Panar Laban.  Sewaktu kami naik kemuncak pada waktu subuh air masih mengalir dari atas gunung turun ke bawah.  Dan ada di antara kami yang minum air tersebut kerana ianya cukup bersih.

Pada kali kedua saya mendaki Gunung Kinabalu, waktu itu cuaca adalah baik.  Memang pemandangan dari atas adalah sungguh indah sekali.  Dengan cuaca yang segar kita boleh melihat tempat yang jauh seperti kawasan Ranau, Tambunan dan Keningau.

Gunung Kinabalu sejak dahulu lagi merupakan tempat keramat bagi orang-orang Dusun di Sabah.  Mereka percaya apabila orang-orang Dusun meninggal dunia, roh-roh mereka akan mendaki Gunung Kinabalu dan bersemadi di kemuncaknya. 

Dalam istilah orang-orang dusun, “Nakapanau nodi rusod dau minongoi pongolu id timpak Kinabalu” 
Dalam bahasa malaysia bererti. “ Rohnya sudah pergi bersemadi di kemuncak Kinabalu”

Menurut dari kaca mata “bobolian”  walaupun kemuncak gunung Kinabalu itu kelihatannya terbuka dan jelas tetapi dalam pandangan dunia roh, tempat itu merupakan satu tempat yang istemewa, sama seperti kayangan di mana segala roh orang-orang yang telah mati tinggal di sana. Kepercayaan itu masih di pegang oleh sebahagian orang-orang Dusun yang berpegang kuat kepada kepercayaan lama.

Ibu saya yang berasal daripada daerah Ranau pernah menyusur kaki Gunung Kinabalu sewaktu dia masih muda.  Dia mengatakan bahawa sebelum roh itu naik ke Gunung Kinabalu, mereka terlebih dahulu akan mencakar batu di satu tempat “khas” sebagai satu tanda bahawa ada orang yang baru meninggal dunia.   Dan ibu saya sendiripun melihat sendiri tempat  di mana roh mencakar batu tersebut.  Ada bekas cakaran yang masih baru dan ada pula cakaran yang sudah lama.  Maksudnya,  ada yang baru meninggal dunia dan ada yang sudah lama.

Kononnya ada seorang yang melalui tempat tersebut dan dia mrngatakan kepada kawan-kawannya, “Bagus saya mencakar sedia dulu, nanti tidak susah lagi lain kali”  dan diapun mencakar batu itu dengan kuku jarinya.  Dan apa yang memeranjatkan adalah beberapa hari kemudian orang tersebut jatuh sakit lalu meninggal dunia.

Demikianlah sedikit info tentang Gunung Kinabalu. Iaitu gunung keramat bagi orang-orang Dusun.