Pada pertengahan tahun 1960an, ketika saya baru berunur dalam lingkungan
enam atau tujuh tahun, ada satu pesta yang di namakan Ginawari yang akan di langsungkan pada setiap bulan
Januari. Dalam pesta tersebut ada
bermacam-macam acara di jalankan seperti pertunjukan silap mata, menjual
berbagai jenis barangan, makanan, minuman, pakaian dan juga permainan. Ada juga permainan berbentuk judi seperti Wah
Woi.
Tempat
yang selalu di jalankan Ginawari itu adalah di perkarangan Hospital Keningau
yang waktu itu belum di pagar. Saya
masih ingat kawasan pesta itu terdapat pokok-pokok kelapa yang sudah
tinggi. Itu menunjukkan kelapa itu sudah
di tanam berpuluh-puluh tahun sebelum itu.
Mengikut
cerita orang, tapak tempat mengadakan Ginawari tersebut merupakan kawasan asal
perkampungan Kampung Nyamuk yang sudah di tinggalkan. Itulah sebabnya kalau anda pergi ke bandar
Keningau melalui jalan Tambunan/Apin-Apin Keningau, apabila anda sampai di
round about dekat Hotel Perkasa, di simpang sebelah kanan anda akan melihat penunjuk
arah Jalan Kampung Nyamuk menuju ke arah Hospital Lama Keningau.
Mengikut
cerita, sebelum pihak British datang ke Keningau, seluruh kawasan Hospital Lama
Keningau termasuklah Quarters pekerjanya sekali merupakan kawasan perkampungan
Kampung Nyamuk. Tetapi kenapakan
perkampungan itu di tinggalkan begitu saja oleh penduduk-penduduknya?
Mengikut
cerita pada satu masa ada beberapa orang ternampak seekor ular yang sederhana
besar sedang merayap di sekitar kampung mereka.
Orang-orang ini memang nakal dan tidak menghormati adat-resam dan
pantang-larang ketika itu. Merekapun
mengambil kayu lalu memukul ular ini sampai cedera parah dan
meninggalkannya. Tapi sebelum beredar,
mereka berkata kepada ular tersebut,”Panggil lagi kawan-kawan kamu dan kami
akan pukul sampai mati”
Orang-orang
ini pulang ke rumah tanpa memikirkan akibat buruk yang akan menimpa mereka
kerana perbuatan mereka tadi. Keesokan
harinya penduduk kampung itu gempar kerana ada berpuluh-puluh ekor ular telah
datang menyerang mereka. Ramai di antara
mereka telah mati kerana di patuk oleh ular yang berbisa. Penduduk-penduduk yang terselamat pula telah
berpindah ke tempat yang selamat seperti di Kampung Dangulad, Tuarid Taud,
Liawan dan Kampung Keningau.
Mulai
dari saat itu penduduk-penduduk kampung tidak lagi berani mengusik ular yang
mereka nampak. Kalau ternampak pun mereka
biarkan berlalu dari situ. Peristiwa ini
berlaku lama sebelum British bertapak di Keningau, namun bekas peninggalan
Kampung Nyamuk masih lagi kita nampak sampai sekarang iaitu pokok kelapa yang
sudah sangat tua dan tinggi dan pokok mangga tua di belakang Hospital Lama
Keningau.
Begitulah
lagenda di sebalik Kampung Nyamuk Keningau.