Isnin, 4 Februari 2019

PERISTIWA SERAM DAN ANEH YANG BERLAKU DI TAMAN RAKYAT KENINGAU





Pada tahun 1950an dan awal tahun 1960an ada beberapa kumpulan  dari suku kaum Cina telah berhijrah ke Keningau untuk menetap dan juga telah memohon kawasan tanah yang luas di sekitar Pekan Keningau .  Keluarga kami telah juga berpindah ke Keningau dan telah menetap di Kampung Toboh Baru yang jaraknya lima kilometer dari Pekan Keningau.

Kampung kami telah dibuka sekitar tahun 1962 dan demikian juga SK Luagan yang telah dibuka sekitar tahun tersebut. Tanah bersebelahan kampung kami merupakan ladang getah kepunyaan tauke Cina.  Pada masa sekarang ini terletak Pusat Kraftangan Sabah.  Terletak di sebelah depannya merupakan Hospital Baru Keningau tetapi dulunya merupakan ladang getah kepunyaan tauke Cina yang lain.

Dari tahun 1960an sehinggalah hujung tahun 1990an kawasan tersebut merupakan ladang getah yang ditoreh oleh penduduk-penduduk  Kampung Toboh Baru sehinggalah tanah-tanah tersebut dijual kepada pihak kerajaan dan swasta.

Apa yang saya mahu ceritakan adalah apa yang saya telah lalui dan dengar pada jangka masa tersebut.  Di kawasan ladang getah tersebut ada terdapat dua buah anak sungai  di tempat mana penduduk kampung pergi menangkap ikan.  Pernah satu kali mendiang bapa saya telah berjaya menangkap  seekor labi-labi yang besar  di mana lebar badannya berukuran dua kaki panjang.  Sementara ikan-ikannya kebanyakannya jenis lampam, haruan, sepat, puyu dan keli.  Saya dan kawan-kawan pula selalu pergi melastik burung dan tupai di kawasan ladang tersebut dan kawasan semak belukar yang tidak di tanam apa-apa. 

Kawasan tepi anak sungai juga banyak ditumbuhi dengan pakis dan buluh di mana ramai penduduk kampung memetiknya untuk di buat sayur.  Tidak kurang pula kulat dan cendawan yang tumbuh dan di jadikan sumber makanan tambahan penduduk kampung.

Pada waktu itu memag belum ada gas memasak jadi semua penduduk kampung terpaksa mencari kayu api, dan kawasan ladang getah dan sekitarnya adalah tempat untuk mencari kayu api.

Saya ingin menceritakan satu cerita yang di ceritakan oleh mendiang ibu saya.  Ada seorang tauke Cina yang bernama Ah Sik telah mendapat  sebidang tanah seluas sepuluh ekar yang berdekatan dengan Kampung  Tudan Baru sekarang ini. Peristiwa ini berlaku di sekitar awal tahun 1960an. Seperti tuan tanah yang lain maka diapun menanam getah di tanahnya.  Kebiasaannya memang mereka buat rumah kongsi  untuk kediaman sendiri ataupun orang yang mereka upah untuk menoreh getah.

Kawasan ladangnya merupakan kawasan yang paling tinggi dan dibawahnya terdapatlah kawasan berair dan berpaya dan kawasan di sekitarnya belum dibuka dan merupakan kawasan semak belukar yang tebal.  Kalau ada yang merayau-rayau keseorangan di kawasan itu memang menakutkan dan menyeramkan kerana tiada satupun rumah lain yang dibina kecuali rumah kongsi tersebut.

Pada satu hari mendiang Ah Sik ini telah pergi melawat ladangnya dengan membawa senapangnya kerana memang masih ada haiwan liar seperti pelanduk, kijang dan rusa yang berkeliaran di kawasan tersebut kerana bilangan pendudukpun masih sangat kurang waktu itu.

Selepas dia berjalan-jalan maka diapun pergi ke pondoknya untuk berehat.  Setelah makan bekalan yang di bawanya, diapun tidur sebentar untuk berehat sebelum pulang ke rumahnya di kawasan Pekan Keningau.  Tiba-tiba dia melihat seperti seekor  burung keluang  hitam (gawir) yang besar terbang dan hinggap di bumbung pondoknya.

Keluang tersebut bergantung di kayu bumbung pondoknya dengan mata yang merah menyala dan gigi yang menyeringai.  Apa yang menyeramkan dan menakutkan bagi si Ah Sik adalah saiz keluang tersebut jauh lebih besar daripada keluang  biasa. Ia lebih menyerupai seperti sebuah payung hitam yang besar.

Oleh kerana ketakutan dan tanpa berfikir panjang diapun mengambil senapangnya dan terus menembak keluang tersebut.  Tembakan tersebut telah meningalkankesan sebuah lubang besar di atap zing pondok nya. Tapi keluang itu lut peluru(kebal) dan dengan mengeluarkan satu ngauman kuat  hooom grrr...... keluang  itu terus terbang lalu hinggap di dahan pohon ara yang terletak bersebelahan dengan Hospital Baru Keningau sekarang ini dimana sekarang ini terletak bangunan kedai One Plaza dan berdepan dengan SK Luagan Keningau. Seluruh kawasan tersebut iaitu ladang Ah Sik dan kawasan pokok ara dahulu,  sekarang ini di kenali dengan nama Taman Rakyat Keningau.

Apa yang berlaku selepas itu adalah  selang beberapa hari si Ah Sik ini telah jatuh sakit lalu meninggal dunia dan tanahnya di warisi oleh anak-anaknya.
Untuk memastikan kebenaran kata-kata ibu saya, maka saya dan rakan-rakan  telah pergi ke pondok tersebut dan memang ada lubang besar di atap zing bumbungnya.  Pada masa ini kawasan ladangnya telah di majukan sebagai kawasan perumahan.  Inilah serba sedikit kisah yang berlaku di kawasan kami pada tahun 1960an.